Isnin, 17 Februari 2014

Perkasa cadang DUN Selangor dibubarkan kerana kedudukan Khalid sebagai MB terancam


THE MALAYSIAN INSIDER

 
Datuk Zulkifli Noordin berkata pembubaran DUN Selangor dapat menunjukkan Khalid Ibrahim secara demokrasi memberi mandat kepada rakyat Selangor untuk menentukan menteri besar mereka. – Gambar fail.Datuk Zulkifli Noordin berkata pembubaran DUN Selangor dapat menunjukkan Khalid Ibrahim secara demokrasi memberi mandat kepada rakyat Selangor untuk menentukan menteri besar mereka. – Gambar fail. 



Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadap Sultan Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebelum kedudukannya sebagai menteri besar diancam ahli partinya sendiri.

Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin berkata, Abdul Khalid harus membubarkan DUN Selangor sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 11 Mac, sebelum disuruh menandatangani surat peletakan jawatan selepas calon PKR untuk PRK Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi DUN tersebut.

"Tan Sri sepatutnya sudah nampak mereka sedang menyediakan perangkap untuk membunuh karier politik Tan Sri sebagai Menteri Besar Selangor. Tan Sri penghalang kepada nafsu serakah mereka.
Tan Sri sekarang adalah satu-satunya pemimpin dalam PKR yang boleh menyaingi dan mengancam kedudukan mereka di dalan PKR.

"Mereka sudahpun 'checkmate' penyokong kuat Tan Sri. Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah dan anaknya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sudah dikancing mulut." katanya dalam blog beliau, Zul4kulim.

Beliau menambah, ahli partinya menarik sokongan kakitangan awam dengan menimbulkan kebencian di kalangan mereka, susulan isu pemecatan kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Zulkifli menambah, jika DUN Selangor dibubarkan, ini menunjukkan bahawa Abdul Khalid menghayati makna sebenar demokrasi dengan memberikan mandat kepada rakyat Selangor untuk menentukan menteri besar mereka.

PKR meletakkan Anwar untuk bertanding di DUN Kajang selepas penyandangnya Lee Chin Cheh melepaskan jawatan untuk memberikan laluan kepada ketua umum PKR itu menggantikannya.

Tindakan berkenaan menimbulkan kritikan pelbagai pihak, kerana Lee tidak mempunyai alasan kukuh melepaskan jawatan kurang setahun selepas beliau memenangi pilihan pengundi di Kajang.

Spekulasi timbul bahawa Abdul Khalid berkecil hati dengan pemimpin PKR seperti Rafizi Ramli yang mengatakan beliau tidak cukup kuat untuk memimpin cabaran serangan Umno di Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 11 Mac sebagai hari penamaan calon, dan 23 Mac untuk tarikh pilihan raya di kerusi tersebut.

Tiada ulasan: