Pejabat Pos kena pecah masuk Azham menunjukkan wang yang turut terbakar dalam kejadian 31 Januari lalu.


KOTA BHARU - Polis tidak menolak kemungkinan kes pecah masuk di Pejabat Pos Mulong di sini, 31 Januari lalu mempunyai modus operandi yang sama dengan dua kes pecah masuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bank, Nilam Puri dan Kubang Kerian baru baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, hasil siasatan polis terhadap kes berkenaan, peralatan yang digunakan suspek terbabit, dipercayai lebih dari seorang mempunyai kaitan dengan dua kes berkenaan.

“Mereka menggunakan gas Oxy untuk memecahkan peti besi dalam pejabat pos ini, dan cat untuk menutup enam kamera litar tertutup (CCTV) dari lapan kamera yang terdapat dalam bangunan ini.

“Kita syaki mereka bergerak dalam kumpulan namun tindakan mereka dianggap masih amatur, apabila meninggalkan barangan terbabit dalam bangunan dan berjaya dikesan melalui dua CCTV yang masih beroperasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian Jumaat lalu, ketua pos pejabat berkenaan hanya menyedari mengenai kejadian itu, ketika memulakan tugas kira-kira jam 8 pagi Isnin lalu.

Menurutnya, walaupun dimaklumkan oleh Bilik Gerakan Polis Bantuan Malaysia Kuala Lumpur terdapat bunyi penggera dari pejabat pos Mulong pada 31 Januari lalu, namun pihak pejabat pos terbabit, tidak mengambil apa-apa tindakan dan mengesyaki apa-apa berlaku memandangkan mereka bercuti pada sambutan Tahun Baru Cina dan pagar dikunci.

Azham berkata, hanya pada Isnin lalu, selepas bekerja dan melakukan pemeriksaan, pihaknya mendapati bahagian pengunci utama pintu telah dipotong dengan menggunakan pemotong khas dan mendapati bilik berselerak.

Azham berkata, dua peti besi juga turut ditebuk dan alat CCTV disembur cat putih di samping sejumlah wang tunai, wang pos, setem, sampul pos ekspres, alat tulis dan produk pejabat pos yang lain turut hilang.

“Di samping itu, tiga bungkus barangan milik pelanggan yang dikirimkan oleh pelanggan juga dikoyak dan setelah siasatan dijalankan kita turut menemui satu tin cat putih di luar bilik ketua pos dan 19 cap
jari selain serpihan yang dipotong di luar bilik Ketua Pos.

“Setakat ini kerugian dianggarkan bernilai RM11,000 melibatkan wang tunai dalam peti besi dan sejumlah RM9332,41 serta wang tunai RM500 dalam laci kaunter,” katanya.

Azham berkata, pihaknya masih mengesan suspek terbabit dan mengharapkan supaya orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat jika terserempak atau melihat suspek ketika kejadian.

“Kita masih mengesan suspek terlibat dan kes disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK).