Jumaat, 7 Februari 2014

Ketika provokasi perkauman meningkat, di mana pemimpin negara?

KOMENTAR BERITA OLEH AMIN ISKANDAR


Poster mengejek Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dengan ganjaran RM1,200 untuk menamparnya yang dilakukan NGO Melayu menunjukkan provokasi perkauman di Malaysia berada pada tahap bahaya. Gambar fail.Poster mengejek Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dengan ganjaran RM1,200 untuk menamparnya yang dilakukan NGO Melayu menunjukkan provokasi perkauman di Malaysia berada pada tahap bahaya. Gambar fail. 



























Tawaran secara terbuka kepada sesiapa yang berjaya menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok daripada DAP dengan ganjaran RM500 yang kemudiannya dinaikkan kepada RM1,200 oleh sebuah pertubuhan Melayu semalam menunjukkan provokasi perkauman sudah berada di tahap paling tinggi di Malaysia dan pemimpin tertinggi negara perlu segera campur tangan.

Tawaran dibuat dalam satu demonstrasi oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam yang menyaksikan dua ayam disembelih dan darahnya dilumurkan kepada kain rentang terpampang wajah empat pemimpin Cina DAP dan PKR di Kuala Lumpur yang dilakukan sekumpulan 50 Melayu tanpa rasa takut dan malu.

Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia berkata semalam, tawaran bagi menampar Kok dinaikkan daripada RM500 ke RM1,200 kerana pemimpin DAP itu dikatakan kurang ajar dan mencabar kedudukan orang Melayu.

Sekretariat Majlis Permuafakatan Ummah Malaysia, Zulkfli Sharif, berkata beliau tidak takut sekiranya Kok membuat laporan polis ke atas pertubuhannya sambil menggesa pihak berkuasa juga mengambil tindakan ke atas perbuatan biadap ahli Parlimen itu.

"Kita serius dengan tawaran ini, tidak main-main. Ini adalah akibat kerana mulut celuparnya. Kita mahu beri amaran supaya kelak ahli Parlimen itu lebih berhati-hati dalam perbuatannya dan polis kena siasat jangan kerana beliau ahli Parlimen maka dilepaskan," katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

Kok sebelum ini dikritik dan lebih 40 laporan polis dibuat terhadapnya berikutan sebuah video sambutan Tahun Baru Cina berdurasi 12 minit bertajuk “Onederful Malaysia” yang dikatakan menghina orang Melayu.

Bagaimanapun, Kok berkata, video tersebut dikeluarkannya bukan untuk menghina masyarakat Melayu tetapi hanyalah satira politik bagi menyindir kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) berhubung peningkatan sara hidup.

Mata tertumpu kepada reaksi dan tindakan yang bakal diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kumpulan yang mendakwa mereka mewakili kaum Melayu dan agama Islam itu.

Jika selama ini PDRM cekap dalam menahan penganjur demonstrasi anti kerajaan kerana dikatakan mengancam keselamatan negara, tindakan sama diharapkan akan diambil kepada kumpulan NGO semalam yang menggalakkan jenayah secara terbuka.

Jangan sampai PDRM dilihat berat sebelah kerana hanya bertindak terhadap kumpulan anti kerajaan tetapi membiarkan kumpulan pro kerajaan melakukan apa sahaja termasuk memporak-perandakan keharmonian kaum di Malaysia.

Selain itu, kita juga mahu mendengar reaksi pemimpin tertinggi negara seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung provokasi perkauman terbaru ini.

Seharusnya, kenyataan perdana menteri dan timbalan perdana menteri keluar sebaik sahaja insiden semalam berlaku untuk menenangkan keadaan.

Walaupun Najib dan Muhyiddin mempunyai perbezaan politik dengan ahli Parlimen Seputeh itu, tidak bermakna aksi provokasi perkauman seperti ini perlu dibiarkan berleluasa kerana kepentingan dan keselamatan negara seharusnya lebih penting daripada kepentingan politik.

Lagipun, Pilihan Raya Umum ke-14 masih lambat lagi dan masih boleh diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Tiada masalah jika perbezaan politik diketepikan dan provokasi kaum serta agama seperti semalam dihentikan.

Pemimpin pembangkang sudah mengeluarkan reaksi mengutuk tindakan provokasi semalam dan itu sudah dijangka.

Apa yang diperlukan sekarang adalah keseriusan pemimpin negara dalam menghalang perkara seperti ini merebak dan menjadi pemangkin kepada insiden lebih buruk.

Sudah tentu kita tidak mahu lihat insiden seperti tragedi 13 Mei 1969 berulang.

Oleh itu, apa yang diperlukan sekarang adalah kerajaan yang memimpin seluruh Malaysia dan bukannya hanya memimpin penyokong BN.

Jika tidak, identiti Malaysia sebagai sebuah negara moden mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama yang hidup secara harmoni akan musnah hanya kerana tindakan segelintir pihak

Tiada ulasan: