Khamis, 6 Februari 2014

Enggan beri penjelasan, lebih baik AG letak jawatan

MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Hanipa Maidin meminta agar Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail meletak jawatan jika enggan memberi penjelasan berikutan penangguhan dakwaan rasuah setiausaha politik kepada bekas menteri Kabinet dan pengarah sebuah syarikat.

Beliau berkata, walaupun AG mempunyai hak dalam membuat pendakwaan, Abdul Gani perlu bersikap telus serta profesional dalam kes yang berprofil tinggi dan bukannya bersikap pendakwaan terpilih.

"Saya merasakan Abdul Gani tidak profesional dalam kes tersebut, walaupun ada laporan mengatakan pendakwaan akan dilakukan pada 29 Januari lalu tetapi sehingga ini senyap begitu sahaja.

"Kalau Peguam Negara enggan beri penjelasan lebih baik letak jawatan, kita lihat bila membabitkan kes profil tinggi Umno akan menyepi tetapi membabitkan pembangkang terlalu cepat pendakwaan dilakukan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurut Ahli Parlimen Sepang itu lagi, kelewatan serta keengganan AG membuat pendakwaan dan penjelasan menyebabkan pelbagai spekulasi timbul sehingga membabitkan campur tangan politik dalam kes tersebut.

Jelasnya, Abdul Gani tidak perlu melenting jika perkara itu dibangkitkan rakyat kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kredibilitinya sebagai Peguam Negara.

"Kita tidak mahu wujud campur tangan politik dalam kes tersebut sehinggakan pendakwaan dilengahkan. Kalau ada yang terbabit perlu diheret sekali," sambungnya yang merupakan peguam.

Hanipa yakin dengan siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan kes tersebut mempunyai bukti kukuh untuk dilakukan pendakwaan.

SPRM, dalam kenyataan sebelum ini berkata seorang bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil dan pengarah daripada Yayasan Sayang Malaysia yang ditubuhkan khusus untuk pelaksanaan skim 1Azam yang diketuainya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Kanun Keseksaan atas tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1.1 juta dan satu lagi tuduhan menipu membabitkan RM1 juta.

Beliau disiasat kerana disyaki menyelewengan dana rakyat di bawah skim 1Azam  yang dikelola Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Laporan Tahunan Pemandu 2011 menyatakan kerajaan membelanjakan RM690 juta antara 2010 dan 2011 bagi program membasmi kemiskinan.

Tiada ulasan: