Selasa, 19 Februari 2013

Sekat MP Pakatan jadi panel di UM tunjuk akademik PM lemah – Nik Nazmi

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Sekatan terhadap beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada seminar politik Universiti Malaya (UM) hari ini, simbol betapa lemahnya akademik Perdana Menteri, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Izzah 1

Pembatalan itu didedahkan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (Umcedel), Prof Dr Mohammad Redzuan Othman pada Seminar Politik Menjelang Pilihan Raya Umum 13 di Dewan Kuliah B, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM, pagi tadi.

Menurutnya, arahan itu dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Forum anjuran Umcedel itu pada mulanya membariskan ahli panel Pakatan terdiri Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

BN pula Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

Tempat mereka yang dijadual membentangkan forum pada 2.30 petang tadi dibatalkan dan diganti oleh ahli akademik lain.

Nurul Izzah tetap hadir sebagai penonton, sekalipun menerima sekatan Umno BN.

Nik Nazmi berkata, pembatalan itu bertentangan suasana sekarang ketika masyarakat dan mahasiswa terbuka dan cenderung kepada pelbagai wacana ilmiah termasuk isu politik.

“Isu politik Malaysia sekarang sudah berubah menjadi tajuk wacana ilmiah melalui pendedahan kajian dan laporan oleh pelbagai institusi pengajian tinggi dan badan pemikir, selain pendapat ahli politik dan ahli akademi yang dikemukakan.

“Di luar, pelbagai badan politik, NGO dan media mengadakan wacana ilmiah. Malangnya kampus terus hilang peranannya ekoran pelbagai sekatan Umno BN.

“Pembatalan forum itu bukan sahaja bertentangan dengan kecenderungan masyarakat untuk berdiskusi tetapi bercanggah dengan agenda transformasi Perdana Menteri,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia itu kepada Keadilan Daily.

Nik Nazmi

Menyifatkan tindakan itu mundur, Nik Nazmi mempertikai pembatalan forum kerana bukan sahaja wakil rakyat Pakatan dijemput tetapi turut diwakili Umno BN.
“Sekali lagi menunjukkan kelesuan tahap kebebasan akademi dan retorik kosong Umno BN kononnya mahu memulihkan imej IPT tempatan.

“Sepatutnya kerajaan menyokong dan menggalakkan forum ilmiah seperti ini kerana boleh mencambah idea baru dan membantu mahasiswa dan masyarakat berfikir dan bertindak secara ilmiah,” katanya.
Justeru, beliau menggesa Datuk Seri Najib Razak segera menyatakan pendirian tegas mengenai insiden memalukan ini.

Tiada ulasan: