Khamis, 7 Februari 2013

PRU13: Mahasiswa mahu lawan Najib di Pekan

Hazayani Zakaria,




KUALA LUMPUR: Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) mengumumkan mahu bertanding pada PRU13 nanti menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan.

"Keputusan bertemu satu lawan satu dengan Datuk Seri Najib merupakan ekspresi kemuncak penolakan mahasiswa terhadap kerajaan Umno BN," kata Pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.

Syis berkata, mereka akan mengumumkan calon mahasiswa tersebut selepas Najib mengumumkan pembubaran parlimen.

"Kita sudah ada tiga hingga lima calon dan akan dimuktamadkan dan akan mengumumkannya selepas Perdana Menteri mengumumkan pembubaran parlimen," katanya.

Menurut beliau juga, mahasiswa tidak kisah untuk bertanding atas tiket apa sekalipun namun mereka mementingkan isu yang akan dibawa.

"Kami mahasiswa membawa isu anak muda iaitu pendidikan percuma, dan kami juga memahami jerit perih ibu bapa yang menanggung anak mereka belajar.

"Jadi inilah masanya mahasiswa mendekati dan memahami masalah rakyat keseluruhannya," katanya.

Sehubungan itu tambahnya, sebagai langkah awal GM13 akan melancarkan Kempen 'Mahasiswa Turun Pekan' pada 11 hingga 17 Februari ini.

"Justeru kami mengalu-alukan sokongan orang ramai sama ada dari sudut sokongan tenaga sukarelawan, kewangan, material dan lain-lain dalam menjayakan kempen ini," katanya.

Tiada ulasan: