Khamis, 14 Februari 2013

Najib Didesak Gugur Bantahan Agar Dr Porntip Dapat Bantu Keluarga Sugumaran


Surendren KES SUGUMAR 01

SHAH ALAM  : Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan kerajaan Malaysia didesak segera memohon kepada Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra untuk menggugurkan bantahan bagi mendapatkan khidmat Dr Porntip Rojanasunan.

Ia bagi memastikan khidmat kepakaran Dr Porntip dapat digunakan dalam bedah siasat kedua mencari punca kematian mendiang Sugumaran.

Peguam Keluarga Sugumaran yang terdiri daripada N.Surendran, Lateffa Koya dan Sivarasa Rasiah mendesak agar penjelasan dikemukakan oleh Najib dan pihak kerajaan Malaysia berkenaan pembabitan mereka dalam isu ini.

“Ekoran komunikasi tersebut, kerajaan Thailand memutuskan supaya Pornthip tidak perlu melakukan bedah siasat tersebut agar tidak menjejaskan hubungan antara kedua buah negara.

“Pakar forensik Thai itu sebelum ini telah bersetuju untuk menjalankan bedah siasat kedua terhadap Sugumar selepas ahli keluarga menolak keputusan bedah siasat pertama,” dakwa peguam dalam kenyataan media bersama mereka.

Jelas mereka maklumat mengenai dakwaan di sebalik penarikan diri Pornthip itu diperolehi mereka secara bertulis baru-baru ini.

Katanya, mereka telah diberi maklumat tersebut oleh sumber yang boleh dipercayai dan kami mempunyai keyakinan penuh terhadap kebenaran maklumat tersebut.

Sebelum ini, kes berkenaan menimbulkan polemik yang menggemparkan masyarakat ekoran terdapatnya dakwaan mendiang Sugumaran dipukul semasa ditahan polis pada 23 Januari lalu di Hulu Langat.

Terdapat dakwaan daripada saksi yang melihat kejadian tersebut yang mendakwa mangsa dibelasah hingga mati dalam keadaan tangannya bergari.

Tiada ulasan: