Rabu, 20 Februari 2013

Kit Siang anggap filem Tanda Putera penipu, tidak jujur

Roketkini.com

KUALA LUMPUR,: Tayangan eksklusif filem, Tanda Putera mengenai tragedi 13 Mei yang berat sebelah dan tidak jujur kepada peneroka Felda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam, membuktikan pengakuan terakhir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dalam keadaan terdesak untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan itu dilakukan berikutan kegagalan dalam pelbagai usaha untuk memenangi semula sokongan pengundi, termasuk kemusnahan besar selepas membelanjakan RM3.5 juta untuk persembahan bintang K-Pop Korea Selatan, Psy pada majlis Rumah Terbuka tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang mengaibkan apabila laungan tiga kali “Ya” untuk Psy dan tiga kali “tidak” untuk BN.

“Saya terkejut apabila seorang Perdana Menteri yang mewujudkan “1Malaysia” sebagai dasar pengenalannya kini mengingkari Program Transformasi Nasionalnya dan mencemarkan semua anjurannya terhadap kesederhanaan dan etika sewaktu forum dalam dan luar negara dengan merestui penayangan sebuah filem yang berniat jahat yang memaparkan saya sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap rusuhan 13 Mei 1969 itu.

“Sedangkan saya sendiri tidak pernah diberi peluang menonton filem itu tetapi apa yang pernah dilakukan bagi publisiti filem itu sudah pun diketahui umum,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 51 Hari ke PRU-13, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau sudah menafikan dakwaan karut yang muncul dalam Facebook rasmi filem Tanda Putera sejak Julai tahun lalu bahawa beliau kencing pada tiang bendera di hadapan rumah Menteri Besar Selangor ketika itu sehingga mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969.

“Halaman Facebook itu menayangkan gambar saya ditahan, dengan kapsyen: “Lim Kit Siang telah kencing di bawah tiang bendera Selangor yang terpacak di rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Harun Idris” Gambar itu diletakkan dalam album Facebook bertajuk ‘Peristiwa yang dimuatkan di dalam filem ini’.

“Walaupun gambar dan kapsyen itu dibuang daripada halaman rasmi filem itu, saya mempunyai screenshot kepada pos terbabit,” jelasnya.

Menurutnya, dua minggu kemudian, Aida Fitra Buyong, Produser Eksekutif filem Tanda Putera memburukkan lagi keadaan apabila mendakwa beliau terlalu bersikap “defensive” terhadap penerbitan gambar di halaman Facebook filem 13 Mei itu.

“Mereka  berbohong mengatakan bahawa saya kencing pada tiang bendera yang mengibarkan bendera Selangor di rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, hingga menimbulkan rusuhan 13 Mei 1969.

“Saya mendapati ini merupakan sikap tidak bertanggungjawab pencipta filem 13 Mei itu, tidak insaf terhadap perbuatan itu, mempertahankan pembohongan dan penipuan serta benar-benar benci kepada kebenaran, sedangkan ketika itu saya tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969 dan menganggap tuduhan itu benar-benar melampau, keterlaluan dan menyinggung perasaan.

“Ia membongkar kepalsuan dakwaan pengarah filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba bahawa adegan rusuhan 13 Mei, yang hanya 10 minit daripada keseluruhan 115 minit filem berkenaan, tepat sejarahnya,” katanya.

Mengikut laporan Malaysiakini semalam, ‘PM wants May 13 film shown to Felda settlers’ (PM mahu menayangkan filem 13 Mei kepada peneroka Felda), mereka yang menonton filem itu berkata “Tiada adegan Kit Siang kencing” walaupun “adegan kontroversi itu dilakukan oleh sekumpulan belia Cina”.

“Saya mendapati ini sangat tidak memuaskan hati memandangkan 10,000 cybertrooper UMNO/BN melambakkan penipuan dan pembohongan di laman media sosial sejak tahun lalu bahawa saya menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969 dengan melaungkan slogan bersifat amat perkauman dan kencing di tiang bendera di luar rumah Menteri Besar Selangor walaupun saya katakan di dalam dan di luar Parlimen bahawa saya tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei 1969 itu,” jelas .

Menurutnya, kencing pada tiang bendera di luar rumah Menteri Besar Selangor bukan saja rekaan dan sepenuhnya khayalan, tetapi juga perkauman dan mengapi-apikan serta bersifat hasutan 

Sehubungan itu, katanya, Najib perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengapa beliau memberi restu secara rasmi kepada filem 13 Mei yang memaparkan penipuan dan pembohongan berbahaya seperti gambaran “sekumpulan belia Cina” kencing di tiang bendera di luar rumah Menteri Besar Selangor itu.- Roketkini.com

Tiada ulasan: