ASPAN ALIAS
Kali ini peneroka Felda pula yang menjadi sasaran kempen Dr Mahathir dalam siri lawatan beliau berkempen pilihanraya yang akan datang ini. Peneroka Felda merupakan satu golongan besar yang mampu melakukan perubahan kepada struktur politik negara kerana kumpulan ini merupakan kumpulan yang besar dan berkolompok dan menjadi rebutan kepada semua pihak yang bersaing dalam setiap kali pilihanraya.
Dr Mahathir seperti biasa
menggunakan isu membalas budi untuk mendapatkan sokongan peneroka bagi UMNO
yang kian hari kian menipis sokongan dari rakyat termasuk orang Melayu sendiri.
Kalau selama ini peneroka Felda menjadi kubu untuk UMNO tetapi kali ini arus
perubahan yang sedang berlaku di negara sekarang sudah menular ke dalam
penempatan peneroka di rancangan Felda.
Isu menggigit jari pihak yang
memberi makan itu tidak timbul dalam politik kerana peneroka juga merasakan
tanggungjawab mereka terhadap negara yang mereka cintai itu. Mereka sudah tidak
mahu terikut-ikut dengan nasihat lapuk dari pimpinan UMNO dan BN sekarang
kerana peneroka juga bertanggungjawab terhadap
keselamatan masa depan anak-anak dan generasi mereka.
Nasihat Dr Mahathir itu satu
nasihat yang terbalik arahnya. Sepatutnya nasihat itu datangnya dari peneroka
kepada pimpinan UMNO yang telah menggunakan kebaikan hati peneroka selama ini
sebagai satu kelemahan yang boleh diambil kesempatan dan dijadikan sebagai dahan-dahan
bengkok untuk kera-kera liar meniti.
Peneroka juga mempunyai hati dan
budi yang tinggi dan kerana hati budi yang tinggi terhadap negara itulah mereka
sudah ramai keluar bertindak untuk menolak satu kerajaan yang tidak boleh
menjamin masa depan rakyat dan generasi mereka. Peneroka terutamanya bagi
generasi kedua sekarang ini mengambil tanggungjawab untuk bersama membanteras
kelakuan pimpinan yang rasuah dan menggunakan kesempatan keatas rakyat termasuk
peneroka yang baik hati selama ini.
Negara yang memberikan mereka
tanah dan ladang dan mereka telah bersetuju untuk membayar segala apa yang
mereka telah dapati. Mereka tahu dan memahami yang kerajaan telah mengambil
segala kesempatan ke atas mereka untuk keuntungan golongan kapitalis besar yang
menjadi kroni kepada kerajaan dan parti yang memerintah. Letih rasanya untuk
mengulangi apa yang UMNO telah lakukan terhadap mereka.
Hanya peneroka tahu dan faham
yang mereka mula bertindak untuk melakukan perubahan itu di atas sebab-sebab
dan alasan yang kukuh. Lagipun sememangnya tanggungjawab mereka untuk bersama
rakyat yang lain untuk menukar kerajaan yang sedang ketagih rasuah dan gila kuasa
sekarang dengan kerajaan yang baru yang lebih meyakinkan.
Masakan kerana budi kerajaan itu
perlu dibalas dengan sokongan berterusan walaupun kerajaan itu telah melakukan
segala gejala yang buruk terhadap negara sekarang ini. Memberikan sokongan
terhadap mereka yang telah menyeleweng itu adalah satu fardu kifayah dan ia
wajib dilakukan dalam pilihanraya ini. Kita ada kata-kata dan perbidalan bagi
menguatkan alasan untuk menukar kerajaan hari ini, iaitu ‘raja yang adil raja
disembah, raja yang zalim raja disanggah’.
Apa yang benar-benar merosakkan
negara serta siasahnya ialah kerana sikap kita menggunakan nilai berterima
kasih itu tanpa berlandaskan kepada moral yang betul. Apa yang sedang dan telah
pun ditanam oleh pihak kerajaan ialah untuk mereka terus menerima terima kasih
kepada mereka walaupun mereka sudah hilang kelayakkan moralnya untuk mentadbir
negara kerana perlakuan buruk yang terbentuk oleh kerana kuasa yang mereka
(UMNO) tidak rela melepaskannya.
Bagi Dr Mahathir isu ini
sememangnya isu yang paling mudah bagi beliau dan beliau tidak mempunyai alasan
lain untuk memberikan sebab kenapa mereka mesti terus berkuasa. Nilai membalas
budi ini pun tidak ada dalam diri Dr Mahathir itu sendiri. Mahathir telah
menggigit tangan Hussein Onn dengan secara halus kerana mahukan jawatan yang di
pegang oleh orang yang melantik beliau itu sendiri.
Mahathir telah meninggalkan UMNO
ciptaan beliau semasa menghadapi pilihanraya yang lalu. Yang terlebih besarnya
Mahathir telah menggigit parti UMNO yang telah menaikkan beliau dengan
mengharamkan parti itu pada tahun 1988 dahulu. Mahathir telah membuang secara
sistematik semua rakan-rakan seperjuangannya dalam kerakusan kuasa yang beliau telah nikmati dengan sokongan rakan-rakan beliau
sendiri.
Orang yang baru dua puluh tahun
menyertai UMNO ini tidak akan memahami siapa Dr Mahathir ini sebenarnya. Tetapi
kenaifan mereka tidak boleh menghalang sesiapa yang telah melalui sejarah dari
awal politik negara kita. Mahathir bukannya menjadi Perdana Menteri kerana
kekuatan beliau, tetapi kerana pengorbanan rakan-rakan seperjuangan beliau yang
akhirnya beliau ketepikan secara sistematik itu.
Bagaimana Dr Mahathir hendak
menyorokkan sifat menggigit tangan yang memberikan beliau makan kepada mereka
yang sudah lama terlibat dengan politik negara kita ini? Dr Mahathir boleh
temberang sekehendak hati beliau tetapi kepada yang mampu untuk mentelaah
kejadian-kejadian yang berlaku di dalam UMNO itu sendiri tidak akan dapat lari
dari mengakui yang hampir kesemua gejala buruk yang terbentuk di dalam UMNO itu
adalah hasil tangan Mahathir sendiri.
Sekarang orang yang telah
menggigit tangan dan jari semua orang yang memberikan beliau segala-galanya ini
menasihatkan orang lain supaya jangan menggigit tangan yang memberi itu. Entah
apa sebabnya Mahathir sedang begitu kelam kabut dengan pertukaran pemikiran
rakyat kali ini hanya beliau sahaja yang tahu.
Tetapi hukum akal mengatakan
Mahathir merupakan orang yang terlalu takut kepada perbuatan dan kesalahan yang
telah beliau lakukan sendiri. Beliau takut kepada demokrasi dan beliau tidak
mahu menerima ‘consequence’ kepada demokrasi itu.
Itulah sebabnya demokrasi itu
bukan semata-mata untuk memenangi pilihanraya tetapi demokrasi itu wajar selari
dengan moral demokrasi itu sendiri. Dr Mahathir tidak mampu untuk melaksanakan
demokrasi selari dengan moralnya sekali.
Kepada penoroka Felda, tuan-tuan
semua berhak memantau kelakuan dan sikap pimpinan yang ada sekarang. Apa yang
saudara lakukan dalam pilihanraya nanti mestilah berdasarkan kepada moral
kepimpinan yang ada pada hari ini dan tidak semata-mata mengenang jasa pihak
yang telah menjadikan negara kita ini tidak mempunyai siasah dan politik yang
bermoral.
Kalau hendak mengenang jasa itu
kenanglah jasa negara, bukannya kepada parti yang sedang dalam ketagihan dan
kerakusan kuasa itu. Tidak wajar kita mempercayai laungan UMNO yang orang
Melayu akan hilang segala-galanya jika UMNO hilang kuasa.
Malahan jika orang dan pemimpin
UMNO yang ada pada hari ini terus mendapat mandat, Melayu akan hilang dunianya
dan segala-gala yang ada pada mereka sekarang ini. Peneroka mesti ingat UMNO
telah di beri isyarat sejak dua puluh tahun lebih dahulu untuk memperbetulkan
keadaan tetapi mereka tidak melakukan apa yang wajar.
Sekarang ini UMNO melutut pula
untuk terus mendapatkan sokongan ramai. Janji-janji mereka untuk memperbetulkan
keadaan ini telah kita dengar setiap kali pilihanraya mendatang, tetapi kita
lihat sendiri tiada apa yang dilakukannya untuk memperbaiki imej dan moral
mereka walaupun masa yang banyak telah diberikan kepada mereka untuk berubah.
UMNO sudah hilang segala-galanya.
Jika benar UMNO itu parti yang bertanggungjawab selama ini masakan negara kita
berada dalam situasi yang kita alami sekarang ini. Ingat, UMNO tidak akan
berubah. Jika ada pun perubahan ia adalah perubahan yang seperti kata
perbilangan Inggeris, perubahan ‘from bad to worst’.
Kita kena berubah. ‘It’s now or
never!’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan