Selasa, 12 Februari 2013

BN Perak tolak jangkaan Pakatan, dakwa pembangkang menang nasib PRU 2008


IPOH — Barisan Nasional (BN) Perak menolak jangkaan Pakatan Rakyat (PR) mereka boleh menang sekurang-kurangnya 40 kerusi dari 59 kerusi dewan undangan negeri (Dun), sambil mengatakan kemenangan pembangkang dalam Pilihan Raya 2008 cuma ‘menang nasib’.

Mereka mendakwa kemenangan tipis PR tidak akan berulang, terutamanya rakyat Perak kini mengetahui gaya pemerintahan PR.

“Situasi sekarang berbeza, (PR) dalam pilihan raya ke-12 (kemenangan mereka) hanya kerana perpecahan BN,” kata Datuk Zainol Fadzi Paharudin kepada The Malaysian Insider.

Ahli dewan undangan negeri Sungai Manik itu mendakwa BN begitu lemah dalam pilihan raya lalu kerana ahlinya kecewa tidak dipilih bertanding dan mengambil keputusan memboikot gabungan itu dan menyokong PR.

“Mereka lupa isu yang dimainkan pada 2008 sudah lapuk,” kata setiausaha BN Perak Datuk Ramly Zahari.

Menurut Adun Manong, rakyat kini boleh menilai cara negatif PR memerintah negeri, seperti Pulau Pinang dan Selangor yang sering bercanggah dengan kerajaan persekutuan.

Mereka juga mentertawakan kenyataan PR bahawa rakyat Perak marah dengan krisis perlembagaan pada 2009 apabila tiga Adun Perak mengisytiharkan diri mereka sebagai bebas, dan menubuhkan kerajaan baru oleh BN.

“Krisis itu disebabkan manipulasi pembangkang, rakyat kini sudah dijelaskan, mereka faham mengapa itu berlaku,” kata Ramly.

Zainol menafikan pengundi di kawasannya masih marah dengan peristiwa itu, mendakwa rakyat Perak marah kepada PR kerana membebankan mereka dengan kontroversi.

“Mereka bermesyuarat di bawah pokok, negeri lain mentertawakan Perak, mereka (Adun PR) memalukan Perak,” katanya lagi.

Adun Chenderiang Datuk Dr Mah Hang Soon mendakwa krisis tersebut berpunca dari masalah dalaman PR, yang menyebabkan tiga ahlinya melompat ke BN.

“Saya minta maaf tapi jika saya adalah seperti mereka (mahu menfapatkan ahli untuk lompat parti), sudah pasti saya malu dengan diri sendiri,” kata Dr Mah yang menghentam PR dalam memanipulasi isu tersebut.

Adun MCA  itu yakin rakyat Perak kini sudah memahami situasi politik dan menghargai pemerintahan BN sepanjang empat tahun ini.

“Kini minda mereka sudah jelas,” kata Ramly.

Dr Mah mengatakan rakyat Perak, terutamanya masyarakat Cina kini menghargai BN, terutamanya dari segi pembangunan.

“Apa yang penting, kami bekerja keras untuk rakyat, dan mereka tahu,” kata ketua pemuda MCA Perak itu lagi.

“Jika rakyat membuka minda mereka, tidak ada satu kawasan pun di Perak untuk pembangkang,” kata Ramly lagi.

Dalam pilihan raya 2008, PR memenangi negeri Perak dengan majoriti tipis, dengan 32 kerusi berbanding BN 27. Kemudian, seorang Adun kembali melompat ke BN sementara tiga ahli PR menggelarkan diri mereka sebagai bebas dan menyokong BN.

Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kemudian memohon Sultan Perak Sultan Azlan Shah membubarkan dewan undangan negeri, namun Sultan bertitah agar Nizar dan exconya meletak jawatan.

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari Umno kemudiannya dipanggil Sultan untuk menubuhkan kerajaan, dan mengangkat sumpah pada 6 Februari 2009.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pada Mei 2009 pengambilalihan kuasa itu sebagai “tidak sah”, tetapi keputusan tersebut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada Februari 2010.

Tiada ulasan: