Sabtu, 9 Februari 2013

Azmin: SAPP telah dikeluarkan dari rundingan kerusi Sabah




KUALA LUMPUR, — Pakatan Rakyat (PR) telah secara rasmi mengeluarkan Parti Maju Sabah (SAPP) dari rundingan kerusi pembangkang di Sabah, Mohamed Azmin Ali mengesahkan, menegaskan permintaan parti tersebut tidak munasabah untuk dilayan.

Timbalan Presiden PKR itu memberitahu The Malaysian Insider di peringkat negeri, PR dengan sekutu baru di Sabah Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) — hampir bersetuju dengan formula perkongsian kerusi mereka.

“Hanya terdapat beberapa sahaja kerusi lagi yang bertindih. Tetapi sekarang kita meminta Majlis Presiden PR untuk membimbing dalam menentukan kerusi yang harus ditandingi oleh setiap parti,” kata Azmin ketika dihubungi di sini, sambil menambah perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat biro politik pada Rabu.

Akan tetapi ahli parlimen Gombak itu yang kini mengetuai rundingan kerusi dengan APS dan PPPS, tidak akan mendedahkan formula perkongsian kerusi dengan dua pergerakkan berasaskan Sabah itu kerana sebab-sebab strategik.

APS diketuai oleh Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing, bekas timbalan presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dari BN manakala PPPS diketuai oleh ahli parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin yang dahulunya anggota majlis tertinggi Umno.

“Tetapi SAPP dikeluarkan terus dari senarai, dikeluarkan dari formula. Saya tidak menyalahkan mereka kerana apa-apa, hanya kerana tuntutan mereka tidak munasabah,” Azmin mengesahkan.

SAPP, parti yang hampir berusia dua dekad diketuai oleh bekas ketua menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee, pada awalnya telah bersetuju untuk bekerjasama dengan PR dalam Pilihan Raya 2013 untuk menjatuhkan BN di kubu mereka di Malaysia Timur, tetapi menegaskan parti tempatan perlu bertanding dengan jumlah besar daripada 60 kerusi dewan undangan negeri.

Yong mengatakan parti PR berasaskan Semenanjung boleh bertanding di majoriti kerusi Parlimen untuk membantu mereka menawan Putrajaya tetapi mengekalkan pentadbiran negeri kepada parti yang berakar umbi di Sabah.

Beliau mengatakan ini selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang menjamin autonomi negeri tersebut.

Akan tetapi Azmin memberitahu The Malaysian Insider permintaan Yong untuk 40 atau separuh daripada 60 kerusi negeri adalah tidak munasabah.

Beliau menegaskan apabila SAPP bertanding di bawah BN pada pilihan raya umum 2008, parti itu hanya memenangi dua kerusi Parlimen dan dua kerusi dewan undangan negeri. SAPP secara rasmi menarik diri dari BN pada September 2008 dan menjadi sebuah parti bebas.

“Kenapa mereka mahu 40 kerusi sekarang? Jadi apa yang tinggal untuk parti pembangkang lain dalam Pakatan, dalam APS dan PPPS?” kata Azmin.

“Saya telah mencuba sedaya upaya dan begitu juga (Ketua Umum PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)… kami berjumpa dan berbincang dengan SAPP semenjak enam bulan lalu — lebih banyak dari yang mereka dapat berbanding pilihan raya lepas,” tambah beliau.

Apabila ditanya apa tawaran PR kepada SAPP, Azmin mengatakan PR bersedia untuk memberikan 10 kerusi kepada parti berasaskan Sabah itu.

Beliau menambah ia adalah “kerusi bagus” dimana SAPP akan bertanding dan mempunyai peluang cerah untuk menang, tetapi parti tersebut menolak tawaran itu.

“Mereka datang kembali kepada kami dan mengatakan mereka mahu 40 kerusi,” kata Azmin.

“Jadi kami telah membuat keputusan — kami akan terus dengan APS dan PPPS sahaja, memandangkan kesuntukkan masa,” katanya.

APS dan PPPS telah bersetuju untuk bertanding menggunakan bendera PKR dalam pilihan raya akan datang.

The Malaysian Insider difahamkan, Bumburing telah ditugaskan untuk menguruskan kerusi Kadazandusun dan Murut (KDM) di Sabah memastikan sokong komuniti tersebut beralih kepada pembangkang, walaupun parti PR berasakan Semenanjung yang menggepalai pertempuran. Lajim pula ditugaskan untuk mendapatkan sokongan Melayu dan Islam.

Kedua-dua pemimpin ini baru-baru ini menjadi sasaran serangan mulut dari Yong, pada Selasa lalu memanggil mereka sebagai kerbau yang dicucuk hidungnya.

Pemimpin lantang yang dikenali dikalangan Cina Hakka di Sabah, menuduh kedua-dua Bumburing dan Lajim “tidak mempunyai pilihan” selain kowtow kepada rakan baru PR mereka dari Semenanjung untuk melobi kerusi dalam pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: