Jumaat, 22 Februari 2013

AES: Selangor akan buat rayuan keputusan mahkamah, kata MB

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM – Kerajaan negeri memutuskan semua kebenaran pembangunan berkaitan jalan raya dan prasarana persekutuan yang telah diberikan digantung buat sementara waktu, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dipasang di dua Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di Dengkil.

Katanya, pihaknya telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Selangor dan Jabatan Undang-Undang Majlis Perbandaran Selayang (MP Sepang) membuat semakan nota kehakiman dan memfailkan rayuan berhubung perkara itu.

"Pembangunan itu akan digantung sehingga proses rayuan selesai. Kerajaan negeri kesal dengan keputusan mahkamah hari ini (semalam) bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina di atas jalan persekutuan.

“Ini kerana kerajaan negeri merasakan, jika kita tiada hak untuk mengawal struktur (jalan raya) di semua tanah di negeri ini, kita tidak akan mampu menguruskannya dengan baik,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Mahad dan Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Ali Ahmad.

Semalam, Hakim Datuk Zaleha Yusuf memutuskan MP Sepang tidak mempunyai kuasa ke atas Plus dan SKVE kerana kedua-duanya berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, “Kerajaan negeri juga mengarahkan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) untuk menyediakan senarai cadangan pembangunan melibatkan lebuh raya atau prasarana Transit Aliran Ringan (LRT) untuk disemak semula oleh Majlis Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Selangor terjamin.

“Kita juga akan memanggil semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyemak semua aktiviti (projek) berkaitan dengan penswastaan jalan antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Pada 19 Disember 2012, mahkamah tinggi membenarkan pengendali kamera AES, Beta Tegap Sdn Bhd mencabar keputusan MPSepang yang difailkan 12 Disember.

Sebelum itu, MPSepang menghantar surat bertarikh 19 November tahun lalu meminta supaya syarikat itu perlu memohon kebenaran merancang untuk memasang tiang dan kamera AES di Kilometer 301.7 Lebuh Raya Plus dan KM6.6 Lebuh Raya SKVE.

Tiada ulasan: