Roketkini.com
Mengikut laporan akhbar Berita Harian semalam bertajuk “Melayu akan lenyap jika terus leka”, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa kononnya orang Melayu di Pulau Pinang akan diusir dan terpinggir.
Dalam laporan itu, Mohamad Hasan juga berkata, “…sekarang tanah diambil untuk membina universiti bukan dari negara ini. Lama-kelamaan orang Melayu di Pulau Pinang akan mencari kawasan penempatan lain di luar Pulau Pinang dan akhirnya tiada lagi Melayu di Pulau Pinang.”
Menurut Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, satu laporan polis sudah dibuat terhadap kenyataan fitnah Mohamad Hasan itu.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah meluluskan apa-apa projek pembangunan yang berkaitan dengan Universiti Nanyang. Dakwaan Datuk Seri Mohamad Hasan yang disiarkan dalam Berita Harian itu adalah fitnah jahat yang tidak berasas sama sekali.
“Adalah jelas kenyataan itu semata-mata bertujuan menghasut sentimen perkauman serta menimbulkan rasa takut dan kemarahan di kalangan masyarakat Melayu terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat (PR),” ujar beliau.
Menjelaskan realiti yang berlaku, Zairil berkata, amanah orang Melayu di Pulau Pinang telah diselewengkan oleh pemimpin UMNO sendiri.
“Ia dapat dilihat dalam kes tanah di Kampung Terang, Balik Pulau. Dua pemimpin kanan UMNO negeri iaitu Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Datuk Omar Faudzar telah membeli 10 ekar tanah yang dimiliki 31 pemilik Melayu.
“Tidak sampai empat bulan kemudian, tanah yang dibeli dengan jumlah harga RM8.6 juta itu telah dijual kepada sebuah pemaju swasta pada harga RM13.5 juta. Dengan kata lain, kedua-dua pimpinan kanan UMNO itu berjaya mengaut keuntungan “atas angin” berjumlah hampir RM5 juta ke atas pemilik Melayu terbabit. Jadi, siapakah sebenarnya yang menggadai tanah Melayu demi keuntungan peribadi?” katanya dalam satu kenyataan.
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu juga berkata, kerajaan Pulau Pinang sebaliknya sentiasa peka terhadap keperluan rakyat, khususnya dalam menangani masalah harga rumah yang tinggi.
“Sebab itu, kerajaan negeri bertekad untuk membangunkan 19,000 unit rumah mampu milik dalam masa terdekat dan baru-baru ini kerajaan negeri telah membuka pendaftaran bagi 1,320 unit rumah mampu milik di Jalan SP Chelliah, George Town dan 520 unit di Bandar Cassia, Batu Kawan,” ujarnya.
Justeru itu, Zairil menegaskan sebarang dakwaan yang menuduh kerajaan PR Pulau Pinang sebagai meminggirkan mana-mana masyarakat adalah tidak benar sama sekali. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan