Rabu, 3 Oktober 2012

Wat Siam bantu bina Lebuh Raya Rakyat

Rizal Tahir,

TUMPAT: Usaha kerajaan negeri membina lebuh raya rakyat kini terus mendapat sokongan padu rakyat pelbagai kaum dan agama. Mereka tampil selepas projek itu diketepikan kerajaan persekutuan sejak 1986.

Dan pada Jumaat ini sebanyak 32 buah wat Siam di negeri ini mengambil inisiatif mengumpul dana Lebuh Raya Rakyat yang akan diserahkan kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua Sami Buddha Tumpat, Than Tit berkata, pihaknya turut mengambil tangungjawab bersama membantu kerajaan negeri membina lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu bagi keperluan orang ramai.

“Jangan pula ada pihak menganggap pemberian sumbangan kami itu sebagai isu politik.

“Lebuhraya tersebut merupakan keperluan semua tidak kira agama, bangsa atau pegangan agama mereka,” katanya di sini.

Menurutnya majlis penyerahan sumbangan dalam bentuk ufti akan diadakan di Wat Machimmaran dekat sini yang turut dihadiri penduduk Siam tempatan.

Difahamkan sebelum berlangsung majlis penyerahan tersebut syarikat yang bertanggungjawab membina Lebuh Raya Rakyat, Baidah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd akan menyampaikan taklimat mengenai projek lebuh raya tersebut.

Kelmarin peneroka dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor menyerahkan sumbangan bagi projek Lebuh Raya Rakyat sebanyak RM21,300 kepada Menteri Besar pada satu program di JKR 10.

Tiada ulasan: