SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Pucuk pimpinan Umno perlu menamakan calon yang akan
bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lebih awal bagi membanteras
kegiatan sabotaj dalam parti itu.
Setiausaha Kelab Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata
dengan cara itu anggota Umno yang melakukan kegiatan itu dapat dikenal
pasti dengan lebih awal.
"Dengan ini tindakan ke atas pensabotaj ini akan lebih berkesan
daripada mengambil tindakan ke atas mereka di saat akhir selepas
penamaan calon, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata dengan mengumumkan nama calon lebih awal, usaha memujuk
juga boleh dilakukan dengan lebih berkesan terhadap mereka yang tidak
terpilih kerana mereka telah dimaklumkan lebih awal tidak dipilih untuk
bertanding dalam pilihan raya umum.
Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga
Presiden Umno berkata Majlis Tertinggi Umno bersetuju mewujudkan
jawatankuasa khas untuk memantau dan mengambil tindakan segera terhadap
mana-mana anggota parti yang mengkhianati atau mensabotaj calon Barisan
Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Mustapha berkata pucuk pimpinan Umno juga perlu menangani perasaan
tidak puas hati mereka yang tidak terpilih dengan berhemah, bijaksana
dan penuh hikmah bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada semua
pihak.
"Pemimpin yang dikenal pasti tidak akan bertanding patut diberitahu
lebih awal bagi mengelak daripada mereka menanggung malu sekiranya
mereka tidak terpilih di saat akhir sebelum penamaan calon.
"Cara ini boleh mengelak atau mengurang perbuatan sabotaj daripada
mereka yang tidak terpilih terhadap calon yang dipilih bertanding,"
katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan