Sabtu, 13 Oktober 2012

Umno terdesak tamatkan sistem kroni AP CPO?

Nazri Abdullah,


Keputusan Kabinet semalam untuk menurunkan cukai ekspot minyak sawit mentah (CPO) dan menamatkan kuota AP penjualan CPO tanpa cukai sebanyak 5 juta metrik tan, pastinya mengizinkan pelbagai pihak, khasnya pengilang penapis kelapa sawit (Refiners) menarik nafas lega.

 Perkara ini adalah sebahagian isu yang saya bangkitkan dalam ucapan perbahasan Belanjawaan saya pada hari khamis lalu, yan mendesak kerajaan suapaya segera mengambil tindakan segera atas isu ini.

Saya telah tegaskan dalam perbahasan bahawa Kementerian Perladangan dan Komoditi mesti mengubah ke struktur duti ekspot yang rendah, fleksibel dan terbuka supaya syarikat penapisan minyak sawit Malaysia boleh berdaya saing dengan Indonesia. Malaysia sebelum ini mengenakan duti ekspot 23% yang tidak fleksible atas CPOnya, berbanding Indonesia yang bukan sahaja serendah 13.5% tetapi mempunyai regim duti ekspot yang fleksible mengikut pergerakan harga CPO dunia.
 
Krisis isu penapisan minyak sawit ini bermula pada bulan Oktober tahun lepas. Seharusnya masalah ini di selesaikan secepat mungkin, tetapi Kementerian gagal mengambil apa-apa tidakan selama 10 bulan. Menjadi lebih parah lagi apabila dua bulan lalu, Kementerian bertindak dengan meningkatkan jumlah kuota AP Minyak Sawit sebanyak 2 juta metrik tan lagi.
Peningkatan AP Minyak Sawit ini bukan merupakan satu langkah yang bijak, tetapi telah memburukan lagi situasi yang sudah teruk. Ini disebabkan kebanyakkan kuota diberi kepada syarikat syarikat yang memang tak berupaya untuk menjual CPO. Penambahan 2 juta metrik tan CPO kepada pasaran yang sudah lembap nyata gagal menarik minat pembeli-pembeli baru. Menteri Tan Sri Benard Dompok minggu lalu mengakui dalam penerangangnya kepada media bahawa masih ada 2.5 juta metrik tan AP yang tak terjual.

 Malah penambahan AP ini telah menyebabkan satu situasi dimana CPO tidak dapat di hantar kepada pembeli kerana tangki-tangki minyak sawit di loji-loji penapisan dan pelabuhan-pelabuhan sudah sesak penuh dengan minyak kelapa sawit yang telah diproses, tetapi tak terjual.

Kesesakan logisitik ini mencetuskan satu  ‘backlog’ yang bukan sahaja ‘mencekik’  industri hilir tetapi telah merebak ke industry huluan serentak menyebabkan rantaian bekalan lumpuh (choked the supply chain). Ramai pengusaha sawit termasuk Palm Oil Refiners Association of Malaysia (PORAM)  dan pengusaha kilang sawit bahawa tangki-tangki di kilang sawit (oil mill) kini sudah pun dekat penuh, dan pengeluar dan peneroka FFB (Fresh Fruit Bunch) dipaksa untuk menjual buah-buahan mereka kepada pengilang dengan harga murah dan dengan diskaun.

 Ramai pemerhati industri sawit juga percaya bahawa dasar penambahan 2 juta AP tanpa duti ekspot ini  adalah faktor utama yang menyebabkan kejatuhan harga CPO yang mendadak baru-baru ini.

 Dalam perbahasan Belanjawaan saya yang menekankan betapa kerajaan Umno-BN terus-terusan enggan dan tidak bersedia merungkaikan system monopoli, sistem rentier atau kronisme yang sebenarnya beperanan mengherot pasaran yang seharusnya mesti diiznkan berfungsi secara efisien dan berkesan. Sistem menopoli secara jelasnya adalah petualang besar yang merosakkan pasaran sekaligus, menjejaskan pendapatan rakyat dan meningkatkan kos saran hidup. Monopoli dan memberi keutamaan kepda kroni dalam pelbagai urus-tadbir perniagaan termasuk beras, gula, telekomunikasi, akhbar, penerbangan, media satelit seperti Astro, lessen teksi dll, secara langsung menjejaskan kos saran hidup rakyat dan mengurangkan pendapatan boleh berbelanja mereka (disposable income).

Atas nama ketelusan dan kebertangungjawaban saya juga mendesak Kementerian mendedahkan nama-nama penerima AP yang telah mendapat menfaatkan dari sistem pemberian hak menjual tanpa duti ekspot disamping yang merupakan the big-boys KLK, IOI, Kwantas, Felda, United Plantation) yang telah diberikan AP dahulu untuk membantu mereka supaya menjadi lebih kompetitif kerana mempunyai kilang penapis di luar Negara.
 
 Persoalannya siapakah pihak penerima AP penjualan CPO yang lain, yang ada yang mendakwa, seperti AP kereta juga, yang tidak ada apa-apa pengopersian kilang mahupun ‘network’ marketing global, tetapi diberikan AP hampir 600 ribu tan setahun dan membuat keuntungan ratusan jutaan atas perniagaan seperti ini. Berapa jutakah diberikan kembali kepada penguasa politik pemerintah dalam urus-tadbir yang mengherot pasaran ini?
 Persoalan kedua, meskipun bersifat teknikal, adalah mengapakah perlu tunggu sehingga awal tahun depan untuk merungkaikan sistem AP yang jelas telah mencekik industry dan rakyat dinegara ini? Dua bulan lebih adalah masa yang panjang yang akan memburukkan lagi keadaan backlog yang telah ‘stroke’kan seluruh ‘supply-chain’ komoditi ini.

Jelasnya ketika berlaku pertentangan kepentingan, Umno-BN lebih mementingkan kroninya dari membela rakyat, peneroka, pengusaha dan membantu membangunkan industri-indusrti di Negara ini.

Masa untuk merobah dan menamatkan kesemua kebejatan dan kebobrokan urus-tadbir kewangan dan pembangunan yang mengorbankan rakyat dan membela kroni telah sampai!

*Dr Dzulkefly Ahmad, MP Kuala Selangor, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Tiada ulasan: