Ahad, 7 Oktober 2012

Umno BN ketepi bantahan penduduk Pengerang halang Rapid

Oleh Mohd Martin Kahar

PETALING JAYA : KEADILAN menempelak pembinaan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan & Petrokimia (Rapid) di Pengerang oleh Umno BN tanpa mempedulikan bantahan penduduk, suasana ekonomi dan kesan masa panjang terhadap alam sekitar.

Biro Pelaburan dan Perdagangannya, Wong Chen berkata, sesuatu pelaburan perlu dinilai berdasarkan merit ekonomi, pulangan, keuntungan dan kesan sosial serta alam sekitar.

Beliau mempersoal adakah Umno BN mengambil kira kesan pada masa akan datang jika projek itu diteruskan.



“Penduduk harus diberi masa mencukupi untuk menyuarakan pandangan mereka supaya boleh membuat keputusan yang bebas.

“Semua kajian alam sekitar perlu dibuka untuk ulasan awam dan semua piawaian alam sekitar perlu dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.
Chen berkata, Pakatan Rakyat mempertimbang memindahkan projek Rapid itu ke Kertih, Terengganu sekiranya kajian dan pertimbangan asas ekonomi mewajarkan ia diteruskan.

Katanya, Kompleks Industri Petroleum di Kertih mempunyai kemudahan pelaburan, infrastruktur dan tanah yang mencukupi untuk menampung projek Rapid.

“Lokasi Kertih menjadi pilihan kerana tidak memberi kesan kepada masyarakat dan tidak perlu mengambil tanah secara paksa.

“Ia juga berhampiran dengan perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan. Sekurang-kurangnya RM5 bilion dari kos pembelian tanah dan pembinaan infrastruktur boleh dijimatkan,” jelas Chen.

Pakatan cadang lanjut FID jika tadbir negara

Beliau juga menggesa tempoh lebih panjang diberikan kepada penduduk Pengerang untuk menyuarakan pandangan mereka sebelum Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dibuat pertengahan Jun tahun depan.

Melihatkan situasi ini, Chen berkata, Pakatan Rakyat bercadang melanjutkan tempoh FID bagi mempertimbangkan asas ekonomi setiap pelaburan jika mentadbir negara

Tiada ulasan: