Oleh: Hafiz Zainuddin
Biarpun kerugian Bank Negara pernah mencecah sehingga RM15.8 bilion akibat manipulasi matawang asing sekitar tahun 1992-1993 oleh spekulator tempatan yang kini menjadi menteri, di samping segala macam ketirisan wang kerajaan seperti yang dilaporkan Ketua Audit Negara tahun lalu, kerajaan BN boleh sahaja terus menyalahkan perkembangan memalukan ekonomi Malaysia itu asbab dari kelembapan ekonomi dunia.
Atau Sebab Soros, sebab Yahudi, sebab syaitan, sebab DAP dan ancaman musuh-musuh Malaysia yang lain. BN tidak melihat dosa dan kesalahan sendiri lantas melayakkan diri mereka digelar dayus.
Belanjawan 2013 baru sahaja diumumkan. Dengan segak bersongkok berbaju Melayu hijau dan samping erat tersemat dipinggang, Najib nampaknya begitu tenang menyerang dan berkempen mengutuk dasar Belanjawan Pakatan Rakyat. Kemudian tidak hadir pula pada sesi perbahasan.
“Dasar kesihatan”: Kuih gelang naik harga!
Apapun kata Najib, ‘dasar kesihatan’ yang dihjadikan alasan supaya kurangkan gula dalam makanan tidak akan mengurangkan harga bahan terkawal itu. Tidak perlu menunggu tahun 2013, sudah ramai keluhan pengguna; “Kuih gelang sudah naik harga!”.
Jika kalendar Puak Maya yang meramal kiamat hujung tahun ini tidak kesampaian hingga 2013, maka kita bakal menanggung musibah yang lebih besar akibat ketempangan rancangan Transformasi Najib yang tidak realistik malah seolah beliau mahu membuktikan kepada Pak Lah dan Mahathir, beliaulah Perdana menteri paling pantas mentransformasi (baca: menjahanamkan) negara.
Maka, apa ertinya buat kita yang makan di gerai bawah jambatan dengan berlaukkan tempe goreng dan sawi layu beharga RM2.50 setiap hari? Ada apa sebenarnya dengan Belanjawan 2013 dan Transformasi Najib?
Lagi-lagi Sabah dan Sarawak terpinggir
Tidak cukup rasanya memberi BR1M 2.0 kerana sejumlah wang itu mungkin bakal bertahan sebulan dua sahaja buat belanja rumah. Dalam masa yang sama, BR1M di Sabah mungkin habis dibuat bayar tambang kapal terbang Kota Kinabalu ke Tawau.
Masih tidak ada apa yang boleh dilegakan oleh dua wilayah yang berada dalam dilemma sejak berdekad-dekad bersama Persekutuan Malaysia itu. Tahun lalu dapat peruntukan RM300 juta, kali ini cuma RM98 juta?
Belanjawan 2013 Najib ini biarpun bakal menabur aspal jalan di Kuala Selangor, Pasir Salak maupun jalan-jalan di tengah jajahan Menteri Wilayah Persekutuan atau di Keningau, Tenom, Sibu maupun Kampung Haji Wahed di Miri, ia masih tidak mampu menjadi ganti beban berat dosa lampau oleh BN di negeri tersebut.
Kebanjiran PATI yang bersaing secara tidak sihat dengan sebahagian Bumiputera di Sabah yang sudah pun dua tiga generasi mengaut hasil bumi bertuah itu tidak lagi selesai. Selain itu, yang masih menjadi tanda soal, mana perginya peruntukan bagi memperbaiki kemudahan infrastruktur yang sangat buruk dan sesetengahnya sangat jelek dipandang mata biarpun Ketua Menteri Sarawak misalnya telah tertabal sebagai Melayu terkaya di Malaysia?
Belanjawan ‘pil tahan sakit’
Belanjawan 2013 Najib sekadar pil tahan sakit. Najib gagal membentangkan sebuah belanjawan jangka masa panjang untuk Malaysia. Najib juga gagal untuk membentangkan satu kerangka dasar untuk mengurangkan jumlah hutang negara. Akhirnya, dengan segala hutang kad kredit, kereta, PTPTN, rumah, along dan hutang kutu, semakin hari semakin terbeban lagi di bahu ini hutang-hutang tersembunyi dari kerajaan BN yang menunggu masa untuk meletup. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan