Isnin, 8 Oktober 2012

Tengku Paduka Ibrahim sertai Pas

SINAR HARIAN

Tengku Ibrahim
Tengku Ibrahim menyerahkan borang keahlian Pas kepada Nik Abdul Aziz di Jabi semalam.
 
JABI - Kerabat Diraja Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah mengisytiharkan menyertai Pas semalam.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tengku Paduka atau Ku Duka menyerahkan borang sebagai ahli Pas kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tengku Ibrahim merupakan anak ketiga Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni al Marhim Sultan Zainal Abidin pernah menjadi Pengerusi Perhubungan Parti Melayu Semangat 46 dan menang dalam Pilihanraya Umum kelapan pada 1990 serta menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanggol selama sepenggal.

Setelah Semangat 46 dibubarkan pada Mei 1996, beliau kembali menyertai Umno sebelum mengisytiharkan keluar Umno serta menjadi ahli Pas semalam.

Menurut Tengku Ibrahim, beliau telah lama berhasrat untuk menyertai Pas tetapi hanya menunggu masa sesuai.

“Saya dulu Pas masa Semangat 46. Saya dengan Pas lama dah baik,” katanya yang enggan menjelaskan faktor mendorong beliau menyertai Pas.

Pusat tidak konsisten isu royalti minyak

Dua lagi individu yang menyerahkan borang keahlian sempena perasmian perhimpunan Pas Ganti UMNO (PGU) 5.0 yang disempurnakan Nik Abdul Aziz semalam adalah bekas Ketua Penerangan Umno Kemaman ketika zaman Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, iaitu Datuk Omar Abu Bakar.

Bekas Wartawan Utusan Malaysia ini juga pernah menjadi Pegawai Perhubungan Khas kepada tiga bekas Menteri Pertahanan.

Seorang lagi yang mengikut jejak dua individu terbabit ialah bekas Ahli Majlis Industri Pertahanan Malaysia, Ahmad Amzad Mohamed@Hashim dari Kuala Terengganu.

Beliau adalah Pengerusi Eksekutif Norstar Technologi di Pulau Pinang dan pernah berkhidmat dalam bidang industri rekabentuk dan perbuatan perkapalan.

Hadir sama dalam program itu Setiausaha Agong Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Sementara itu Wahid berkata, kemasukan beberapa tokoh itu menunjukkan semakin ramai menyokong Pas terutama dalam menghadapi PRU akan datang.

Dalam ucapannya beliau turut menyentuh isu royalti minyak apabila beliau mendakwa Kerajaan Negeri dan Pusat tidak konsisten serta berdolak dalik dalam menyelesaikan royalti yang dikatakan hak rakyat Terengganu.

Kabinat bayangan bukan dari PR

SEMENTARA itu Pas menafikan Pakatan Rakyat pernah mengeluarkan senarai Kabinet bayangan seperti yang disiarkan sebuah akhbar harian Khamis lalu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Pas, PKR dan DAP tidak pernah membuat senarai Kabinet bayangan seperti yang didakwa tersebut.

“Senarai itu bukan dari Pakatan Rakyat dan bukan dari PKR. Kita tidak pernah buat macam itu. Kita ada perancangan tapi tidak boleh beritahulah,” katanya yang menyifatkan senarai tersebut hanya direka oleh akhbar terbabit.
Mustafa berkata, Pakatan

Rakyat akan membuat pengumuman senarai anggota kabinet selepas Plihanraya Umum (PRU) ke 13 akan datang.

Pada Khamis lalu akhbar terbabit menyiarkan senarai Kabinet bayangan pakatan pembangkang jika mereka berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

Senarai itu dikatakan dipetik dari sebuah blog dan bahan tersebut pula didakwa diperoleh melalui sumber dalaman PKR.

Sementara itu Nik Abdul Abdul Aziz menyifatkan demonstrasi adalah sama seperti jemaah dalam solat bagi melambangkan kekuatan.

Menurut beliau, demonstrasi sebenarnya sudah lama diamalkan iaitu duduk rapat-rapat tetapi telah dihalang oleh kerajaan BN.

Tiada ulasan: