Khamis, 4 Oktober 2012

Tee Yong Silap Baca Belanjawan Pakatan Rakyat 2013




SHAH ALAM : Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat memperuntukkan sebanyak RM 4 bilion bagi peruntukan kenaikan gaji kakitangan Kerajaan dan bukannya RM5.1 bilion seperti yang didakwa Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong.

Tee Yong dalam semalam menuduh Pakatan akan membelanjakan sebanyak RM 2.4 bilion bagi kenaikan gaji guru, RM 2 bilion bagi kenaikan gaji kakitangan awam serta RM 754 juta bagi kenaikan gaji polis di dalam Belanjawan Pakatan 2013.

Jawatankuasa Dasar dan Manefesto Pakatan yang bertanggungjawab menyediakan Belanjawan itu berkata, Tee Yong tidak membaca sepenuhnya keseluruhan dokumen tersebut.

“Pendekatan yang diambil Pakatan adalah mengekalkan anggota polis sedia ada tanpa pengambilan baru.

Ini berbeza dengan cara Umno-BN yang ingin meningkatkan pengambilan baru sehingga 30 peratus menjelang 2015 yang sudah tentu akan meningkatkan tanggungan gaji,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Badan itu dianggotai MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Strategis Pilihanraya DAP, Dr Ong Kian Ming.

Menurut Jawatankuasa ini, Pakatan mencadangkan supaya anggota polis Cawangan Khas ditukar ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi kerja-kerja membanteras jenayah.

Ini kerana tiada pengambilan baru menjelang 2015 seterusnya gaji anggota polis ini dapat dinaikkan.

Justeru itu, ia merupakan suatu proses yang mengambil masa dan bukannya kenaikan gaji serentak kerana proses penukaran anggota Cawangan Khas melibatkan latihan serta pelbagai urusan.

“Mukasurat lapan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada menyebut bahawa Pakatan mengunjurkan kenaikan gaji 15 peratus sekiranya proses ini berjalan.

“Oleh kerana ia melibatkan satu proses, ia juga melibatkan kenaikan berperingkat dalam satu tempoh masa kerana kenaikan gaji itu perlu dibiayai dari penjimatan kerana tiada pengambilan baru dalam tempoh tiga tahun,” kata mereka.

Sementara itu, Kerajaan Pakatan juga akan meneliti bentuk-bentuk faedah bukan gaji bagi mengelakkan pembaziran dengan memastikan hanya faedah bukan gaji kepada kakitangan awam disediakan pada kos berpatutan.

“Kami yakin penjimatan dari semakan terhadap perbelanjaan faedah bukan gaji boleh menampung kesan kewangan bagi tahun 2013 yang dianggarkan bernilai RM 250 juta itu.

“Mengambil kira pertimbangan ini, kenaikan peruntukan gaji kakitangan kerajaan hanyalah RM4 bilion seperti yang terkandung dalam Bajet Pakatan Rakyat 2013,” jelas mereka.

Tiada ulasan: