Oleh Mohammad Sabu |
Selepas Perang Dunia Kedua banyak negara dunia ketiga telah mencapai kemerdekaan, sama ada di Asia atau Afrika. Kemerdekaan dicapai melalui berbagai-bagai cara, sama ada penentangan secara bersenjata terhadap penjajah, melalui penentangan politik, melalui rundingan atau kuasa penjajah itu sendiri meninggalkan tanah jajahan mereka.
Kerajaan-kerajaan baru yang dibentuk selepas peninggalan penjajah, kebanyakannya melahirkan diktator baru yang menguasai negara berkenaan, sama ada di Afrika, negara-negara Arab dan juga Asia Tenggara.
Bagaimanapun, di negara yang merdeka itu, demokrasi tidak berjalan dengan baik, pilihan raya hanya untuk mengesahkan pemerintah yang sedia ada.
Lebih dahsyat lagi, apabila berlaku penolakan rakyat terhadap sesuatu pemerintah, maka untuk mempertahankan pemerintahan, kuasa luar (tentera) dijemput masuk. Campur tangan bagi mempertahankan sesuatu regim itu, sama ada dibuat secara langsung atau tidak langsung.
Misalnya, untuk kes secara langsung, campur tangan Soviet untuk mempertahan pemerintah beraliran kiri di Afghanistan. Begitu juga dengan campur rtangan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk mempertahan kerajaan Vietnam Selatan. AS turut campur tangan untuk mempertahan pemerintah Shah di Iran.
Kebanyakan negara-negara Islam (OIC) diperintah secara diktator atau demokrasi hanya menjadi slogan pemerintah dan digunakan untuk pengesahan kediktatoran mereka. Sistem pemerintah "diktator demokrasi" berjalan di Libya, Tunisia, Mesir, Syria, Yamen bahkan hampir seluruh negara OIC. Di negara-negara Teluk, hampir tiada langsung sistem demokrasi.
Apabila tentera luar datang campur tangan secara langsung, seperti di Vietnam dan Afghanistan, maka cara paling popular ialah rakyat tempatan mengangkat senjata melawan pemerintah dan tentera asing tersebut.
Rakyat Vietnam dengan semangat patriotik dan watani akhirnya berjaya menghalau Amerika dan pemerintah boneka daripada mereka.
Campur tangan tentera Soviet untuk mempertahankan kerajaan boneka mereka yang berhaluan kiri ditentang oleh rakyat Afghanistan (Mujahidin). Tentera Soviet dan kerajaan boneka itu terpaksa mengaku kalah di tangan Mujahidin dan rakyat Afghanistan.
Ini antara dua contoh kejayaan golongan yang mengangkat senjata menghadapi campur tangan tentera asing untuk menghadapi pemerintahan diktator.
Sesungguhnya bagi kes diktator yang memerintah sesebuah negara, atau campur tangan asing secara tidak langsung atau yang bersifat proksi, jarang sekali ia berakhir dengan kejayaan puak penentang yang mengangkat senjata. Sebaliknya kebangkitan rakyat dengan "tangan kosong" atau gerakan massa sahaja yang mampu menumbangkan pemerintahan diktator.
Kerajaan Shah yang zalim, yang disokong sepenuhnya Amerika dan Israel dapat ditumbangkan dengan kemarahan jutaan rakyat di jalan raya. Memang ia terpaksa memakan ribuan korban di pihak rakyat jelata, namun akhirnya Shah dan sekutunya terpaksa mengaku kalah dan menyerahkan pemerintahan kepada rakyat.
Begitu juga apabila rakyat Poland marah dengan pemerintah diktator, iaitu presiden dan isteri hidup dalam keadaan mewah sedangkan rakyat membanting tulang mencari makan. Akhirnya kemarahan ratusan ribu rakyat di jalan raya menyebabkan pemerintah Poland tumbang dan ketua gerakan sekerja mengambil alih pemerintahan.
Ali Zainal Abidin, isteri dan kroninya hidup serba mewah dan bermaharajarela memerintah Tunisia. Melalui sistem "demokrasi diktator", tidak mungkin sama sekali pemerintah kejam Ali Zainal Abidin dapat ditukar.
Akhirnya rakyat terpaksa keluar ke jalan raya mendesak Ali Zainal Abidin dan kabinetnya meletak jawatan dan memulangkan harta rakyat yang dicuri. Ratusan rakyat "bertangan kosong" terkorban, namun presiden dan isteri akhirnya terpaksa melarikan diri dan rakyat mengambil alih pemerintahan.
Kaedah atau modus operandi yang sama juga berlaku di Mesir dan Yemen, apabila rakyat "bertangan kosong" keluar ke jalan raya dalam jumlah jutaan ramainya, dengan satu azam bagi menukar pemerintahan diktator.
Di awal kebangkitan rakyat di Timur Tengah menuntut demokrasi, bermula dari Januari 2011, hampir serentak berlaku kemaraan rakyat untuk demokrasi dan menolak pemerintahan diktator.
Pada awal kebangkitan rakyat Libya, ia amat baik dan bererti, tetapi di pertengahan jalan golongan bersenjata turut serta berlawan dengan tentera Muammar Gaddafi. Pemberontakan bersenjata dan demonstrasi massa berlaku seiring. Ia memberi peluang kepada kuasa imperialis untuk campur tangan.
Negara-negara Nato, terutama Amerika dan Itali mengambil peluang untuk mengebom Libya dan membantu pemberontakan. Negara Turki, Qatar dan negara-negara Teluk lain juga turut sama menjatuhkan regim Gaddafi.
Apa yang membimbangkan, perubahan pemerintahan di Libya tidak sangat mengikut acuan atau kehendak rakyat, sebaliknya ia mengikut acuan Nato dan kuasa Barat. Kita mahu perubahan berlaku seperti di Iran, Poland, Tunisia, Mesir dan Yemen.
Kebangkitan umat di Timur Tengah juga melanda Syria. Demonstrasi rakyat berlaku di setiap bandar besar, sama ada di Alleppo, Damsyik dan Homs. Seperti di Libya, golongan bersenjata menyusup dan melakukan pembunuhan terhadap tentera dan polis Syria.
Pasukan keselamatan Syria kemudiannya membalas tindakan dengan keras. Rovolusi (kebangkitan) rakyat Syria telah dan sedang "dihijack" oleh pasukan bersenjata. Lebih malang lagi, ada di antara yang menyokong pasukan bersenjata menentang kerajaan Bashar Al-Assad itu, di negara mereka sendiri tidak pernah ada pilihan raya dan rakyat mereka tidak tahu apa itu demokrasi.
Sekali lagi negara-negara Nato dan segelintir negara Arab di Teluk sedang mengatur "kepala kuasa" di Timur Tengah, setelah Amerika dan sekutunya gagal di Iran, Mesir, Tunisia, Yemen, dan juga di rantau ini, Indonesia apabila takyat menjatuhkan regim Suharto.
Saya masih berkeyakinan, bahawa untuk menjatuhkan diktator di negara sendiri, kebangkitan rakyat dengan "tangan kosong" selama ini terbukti membawa kejayaan daripada kaedah mengangkat senjata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan