Sabtu, 20 Oktober 2012

S'wak runding terus kontrak bernilai berjuta ringgit

Aidila Razak


Satu syarikat milik Setiausaha Kewangan Sarawak Diperbadan didapati menganugerahkan kontrak bernilai berjuta ringgit kepada empat firma, kebanyakannya melalui rundingan terus.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, lapan daripada 10 kontrak untuk pengeluaran dan penghantaran arang batu di Mukah dianugerahkan secara rundingan terus.
Lombong arang batu itu terletak di Mukah, yang menempatkan kawasan DUN Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud - Balingian.

Kontrak berkenaan dianugerahkan tanpa perakuan daripada setiausaha kewangan negeri, yang ditetapkan untuk kontrak bernilai lebih RM500,000.

Sebanyak 10 kontrak, masing-masing berjumlah antara RM4.42 juta dan RM262 juta dianugerahkan kepada Hock Peng Realty Sdn Bhd, Piritemp Sdn Bhd, Alam Suria Equity Sdn Bhd dan Verde Mount Corporation Sdn Bhd.

Jumlah nilai keseluruhan 10 projek itu ialah RM923.03 juta.

Penerima kontrak paling besar ialah Verde Mount Corporation yang dianugerahkan dua projek bernilai RM472.2 juta manakala Hock Peng Realty dianugerahkan tiga kontrak bernilai RM362.43 juta.

Bagaimanapun, Sarawak Coal Resources dalam maklumannya kepada ketua audit berkata ia "tidak mengetahui" wujudnya pekeliling yang menetapkan sedemikian dan akan mematuhinya pada masa depan.

Audit itu juga mendapati Hock Peng Realty dan Alam Suria tidak mematuhi kontrak dan laporan kesan alam sekitar.

Hock Peng Realty sepatutnya menimbus semula tapak lombong berkenaan selepas operasi perlombongan berakhir pada 2011, namun laporan itu mendapati lombong Ulu Bedengan itu kini menjadi satu tasik yang besar.

Syarikat Alam Suria Equity pula didapati menimbus semula tapak lombong Ulu Sikat, namun kawasan itu tidak dibaikpulih seperti ditetapkan dalam kontrak.


 

Tiada ulasan: