MALAYSIA KINI
Beberapa
kelemahan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia
disenaraikan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 – antaranya
melibatkan tindakan ke atas pengarah yang tidak membayar kompaun denda
berjumlah lebih setengah juta ringgit.Audit itu juga mendapati SSM lewat mengutip kompaun dan merujuk syarikat tersebut untuk tindakan pendakwaan – serta kelemahan suruhanjaya itu dalam kemaskini data kompaun.
"Kelemahan itu menyebabkan sebanyak 346,546 bilangan atau 49.9 peratus kompaun di mana nilai tidak dapat ditentukan masih belum diambil tindakan."
Laporan tersebut antara lainnya mengemukakan contoh seorang pengarah yang mendaftarkan sebanyak 683 syarikat dan mengumpul denda berjumlah RM640,000, namun tidak dikenakan tindakan.
Ia merupakan antara lima kes melibatkan pengarah syarikat yang menerima antara 85 hingga 135 denda, berjumlah antara RMRM490,000 hingga RM640,000.
"Pihak Audit juga mendapati pengarah syarikat tersebut masih aktif mendaftarkan syarikat dari bulan Januari hingga Februari 2012 walau pengarah tersebut belum menjelaskan antara 85 hingga 135 kompaun."
Dua daripada pengarah tersebut sehingga Februari lalu didapati mendaftarkan sehingga 99 buah syarikat.
Laporan itu juga menyebut, Akta Syarikat 1965 tidak mengehadkan bilangan syarikat yang boleh didaftarkan oleh seseorang pengarah walaupun Amalan Terbaik Bursa Malaysia hanya mengehadkan jumlah 15 buah syarikat.
Selain itu, ia mendapati jumlah pendakwaan yang dijalankan SSM – khususnya cawangan Kuala Lumpur – amat rendah.
Kes yang dirujuk ke bahagian pendakwaan di cawangan Kuala Lumpur hanya berjumlah 1.5 peratus atau RM8.59 juta dalam bentuk kompaun denda – daripada RM554.94 juta kompaun yang belum dikutip.
Laporan itu juga menyebut, SSM juga tidak membentangkan laporan penguatkuasaan bulanan kepada anggota suruhanjaya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Maklum balas SSM kepada Jabatan Audit pada Jun 2012 menyebut, suruhanjaya itu mengambil maklim teguran tersebut dan akan melaksanakan cadangan tersebut.
Ia juga menyatakan suruhanjaya itu antara lainnya telah mengambil tindakan pendakwaan ke atas syarikat dan pengarah yang gagal menyelesaikan kompaun.
Walau dengan kelemahan tersebut, SSM sejak beberapa bulan ini gigih menjalankan siasatan ke atas NGO Suaram dengan tujuan untuk mengambil tindakan ke atas kumpulan hak asasi itu.
Menteri KPDNKK Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 18 September lalu mengisytiharkan bahawa Suaram akan didakwa dalam tempoh dua hari atas "akaun mengelirukan".
Pejabat Peguam Negara bagaimanapun memulangkan semula kertas siasatankepada SSM kerana tidak lengkap.
Menteri hal ehwal undang-undang Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pula dalam satu jawapan di Dewan Rakyat pada Isnin lalu berkata berkata tiada peruntukan dalam Akta Syarikat dan Akta Pertubuhan yang menghalang mana-mana pertubuhan atau syarikat menerima dana asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan