Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata wang RM40juta yang cuba diseludup ke Malaysia untuk Umno Sabah adalah "sumbangan politik" (political donation) untuk Umno.
Bagaimanapun, presiden Umno itu enggan mendedahkan pihak yang menyumbang wang tersebut kepada Umno apabila ditanya pemberita.
"Ia adalah untuk sumbangan politik. Setiap parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan politik selagi ia dibuat dengan mengikut saluran yang betul.
"Kami tidak boleh mendedahkannya kerana pembangkang juga menerima sumbangan. Mereka (juga) tidak mendedahkannya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN.
Diminta oleh wartawan untuk mengesahkan adakah ia dibuat dengan cara yang betul, Najib berkata:
"Ya... Apa sahaja selagi ia dilakukan mengikut saluran atas nama parti."
Ditanya wartawan bahawa jumlah wang tersebut itu boleh menimbulkan keraguan di kalangan umum, Najib hanya membalas:
"Tanya pembangkang berapa banyak mereka menerima (sumbangan politik)."
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan wang berjumlah RM40 juta yang diseludup ke Malaysia melalui Hong Kong merupakan sumbangan kepada Umno Sabah dan bukannya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Dalam jawapan bertulisnya di Parlimen, Nazri berkata elemen rasuah tidak dibuktikan dalam kes tersebut.
Transperancy International Malaysia turut mendesak Umno mendedahkan sumber wang tersebut. -MK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan