Sabtu, 20 Oktober 2012

Sampai perlu acu pistol ke kepala?

 Oleh Izmil Amri

Khairy Jamalauddin, adalah Ketua Pemuda United Malays National Organisation yang sampai kiamat tidak akan insaf dan menyedari bahawa politik berasaskan kaum itu adalah tinggalan sejarah zaman lampau.

Manusia spesis ini tidak akan pernah bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Kecuali kalau diletakkan pistol ke kepalanya.

Ya itulah yang disebut Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau yang tampan bergaya dengan kemeja merah jambunya tatkala disoal tentang yang mana lebih dia dahulukan, Melayu atau Malaysia. Sang menantu mantan Perdana Menteri terpaksa mengambil hampir tiga minit untuk sampai kepada jawapan tidak ikhlasnya yang mafhumnya, ‘Kalau diletak pistol ke kepala saya, saya akan kata bahawa saya Malaysian first, kemudian Melayu.’

 

Macam tu sekali?

Sampai kena acu pistol ke kepala kau Khairy? Sampai macam tu sekali baru kau nak mengaku kau ‘Malaysian first‘?

Dari jauh kita akan mendengar slogan dan logo 1Malaysia saranan APCO kepada Perdana Menteri NAJ1B Razak menangis sayu. Ranaplah harapan kesatuan bangsa dan kemakmuran kaum. Terlihat jelas bahawa Ketua Pemuda UMNO ini langsung tidak ikhlas dengan jawapannya. Malah saya akan terus terang kata bahawa beliau sebenarnya menipu.

Hadirin yang mengikuti forum anjuran alumnus Chevening itu pastilah tidak terbeli dengan ayat politik Khairy Jamaluddin. Tidak ramai yang bertepuk tangan apabila jawapan tersebut keluar dari mulut Khairy, menegaskan jawapannya kepada soalan sebelum itu bahawa memang ada isu kepercayaan di kalangan rakyat terbanyak terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

Tidak sedia, tidak peduli

Forum yang dianjurkan pada malam itu cuba membicarakan masa depan ekonomi Malaysia. Dengan ahli panel tersohor lain seperti Tony Pua dan Dr Jeyakumar dari PSM; Khairy datang dengan selamba dan tidak bersedia. Seolah-olah berkata kepada tuan rumah dan hadirin yang datang bahawa ‘aku datang hanya untuk tunjuk kemeja merah jambu ini dan bertawakal sahaja dengan apa modal retorik politik yang aku ada.’

Malah Khairy tanpa segan silu mengakui bahawa ya dia tidak bersedia dan untuk forum malam itu, dia harus terpaksa mencuri ‘slide’ pembentangan Power Point Idris Jala. Dan bermula di ‘slide’ yang memaparkan gambar Menteri Perdana, NAJ1B Razak.

‘Haaa.. ada gambar bos. Ini bagus,’ kata Khairy dalam Bahasa Orang Putih. Ya lah, mesti kena berseloroh di forum anjuran Chevening ini. Mesti lah British. Graduan Oxford lah katakan. Lagipun kalau Khairy bercakap serius pun orang ketawa juga. Alang-alang demikian, baiklah buat lawak terus. Kan?

Soalan perangkap

Soalan yang memerangkap Khairy tersebut sebenarnya telah terlebih dahulu dijawab oleh Dr Jeyakumar, pemimpin PSM yang hadir jelas nyata malam itu dengan penuh dokongan dan sokongan terhadap Pakatan Rakyat. Soalan yang ditanya mudah sebenarnya. Dan tidak memerlukan tiga minit ayat bersimpang siur seperti jawapan Khairy.

Soalan daripada hadirin malam itu berkisar tentang slogan 1Malaysia yang cuba dibawa NAJ1B secara bersusah payah demi mewujudkan rasa ketergabungan antara kaum. Konsep yang sama sekali tidak banyak beza dengan konsep Malaysian Malaysia yang dibawa DAP suatu masa dahulu, dikatakan gagal dianuti beberapa pihak yang berasosiasi dengan UMNO dan NAJ1B Razak.

Ini jelas diperlihatkan dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak sudah-sudah menggunakan konotasi berbaur perkauman sempit untuk menyerang lawan-lawan politik UMNO. Malahan Timbalan Perdana Menteri yang menjadi rujukan pelajaran agama sekolah rendah  NAJ1B Razak juga gagal memberikan jawapan yang menuruti konsep kebersamaan dan keserataan yang didakwahkan.

Ya, ramai rakyat yang tidak menggemari jawapan Muhyiddin yang mengakui dirinya lebih Melayu berbanding ‘Malaysian’. Bukan yang bukan Melayu sahaja.

Jadi soalan ini ditanyakan kepada panel, dan Dr. Jeyakumar dengan cemerlang menyatakan bahawa beliau pasti ramai yang hadir ke forum malam tersebut turut menyertai perhimpunan Bersih dan telah melihat 1Malaysia diamalkan di dalam perhimpunan itu. Bagaimana rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama dapat berkumpul bersama menuntut perubahan kepada sebuah sistem yang sudah tua dan perlu ditukar.
Indah dan tepat jawapan Dr Jeya itu.

Khairy gagal

Tetapi malang bagi Khairy kerana gagal membaca sentimen hadirin yang barangkali disangkanya tidak dapat menangkap permainan bahasanya. Hatta sanggup ia mengaku bahawa beliau seorang ‘Malaysian first’ hanya apabila diacukan pistol ke kepala.

Eh hello Khairy. Kalau kau acu pistol ke kepala aku pun aku akan sanggup isi borang UMNO. Tapi pastilah aku tak ikhlas isi borang parti perkauman tersebut? Kan?

Mana-mana manusia pun pasti akan sanggup lakukan apa sahaja jika diacukan pistol ke kepala. Termasuk tinggal bersama lembu-lembu di mana-mana kondominium sekitar Bangsar. Atau meletupkan mana-mana model Monggolia. Tapi kesanggupan dan kerelaan itu adalah dipaksakan. ‘Under duress’ dalam bahasa undang-undangnya. Pengakuan yang dipaksakan adalah pengakuan yang tidak sah dan tidak layak dibawa menjadi keterangan di mahkamah.

Maka Khairy Jamaluddin telah berbohong di hadapan khalayak umum. Demi kepentingan politiknya, beliau telah jelas menggunakan retorika demi populariti.

Mujurlah Khairy tidak akan sempat menjadi Perdana Menteri paling muda. Dulu kini dan selamanya Khairy adalah terlebih dahulu Melayu. Sepertimana yang dikehendaki para penyokong UMNO yang tidak mampu berhijrah daripada aqidah perkaumannya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: