Rabu, 3 Oktober 2012

Rapid: Salahuddin pelawa MB Johor dialog

JAMILAH HAMZAH

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
 
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mengulangi pendiriannya mempelawa Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman agar berdialog secara terbuka berhubung isu pengambilan tanah di 10 kampung tradisi di Pengerang, bagi memberi laluan kepada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Menurutnya, hanya Menteri Besar Johor yang mempunyai kelayakan menjawab sebab tanah rakyat diambil bagi membangunkan projek Rapid.

Katanya, "saya tetap dengan pendirian saya bahawa isu itu melibatkan pengambilan tanah, jadi orang betul untuk memberi kenyataan adalah Menteri Besar."

"Jadi, saya mengajak berdebat atau berbahas atau berdiskusi atau berdialog, saya nak tahu kenapa kampung tradisi itu diambil bukannya tanah kerajaan.

"Kalau nak kata laluan kapal, tanah kerajaan di Pengerang juga dekat dengan laluan kapal itu, jadi apakah sebabnya tanah 10 kampung tradisi itu perlu diambil," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang,  Datuk Seri Azalina Othman mengajak Salahuddin berdebat mengenai isu itu.

Namun Salahuddin telah menolak dan menyatakan niatnya untuk berdebat dengan Abdul Ghani bagi menyelesaikan isu tersebut.

Semalam, Azalina sekali lagi mempelawa Naib Presiden Pas itu untuk berdebat dengannya.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, perjuangannya sekarang adalah di tahap menghalang tanah rakyat diambil.

Tambahnya, isu  pengambilan tanah akan diselesaikan terlebih dahulu dan isu-isu lain akan diselesaikan selepas mendapat kenyataan daripada Menteri Besar Johor.

Tiada ulasan: