Isnin, 15 Oktober 2012

Projek Rapid: Pas tidak tolak pembangunan

HASLINA KAMALUDIN, ARHIZA AHMAD
Foto: AZMI ARYANTO


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
 
BARU-BARU ini Ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng memberitahu pakatan pembangkang akan memansuhkan Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang, Johor jika mereka dapat membentuk Kerajaan Pusat. Menurutnya, projek itu tidak memanfaatkan ramai orang dan merosakkan alam sekitar. Namun berbeza pula pendapat Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang mengatakan projek tersebut tidak boleh ditolak asalkan mengambil kira kepentingan rakyat. Wartawan HASLINA KAMALUDIN, ARHIZA AHMAD dan jurufoto, AZMI ARYANTO bertemu pemimpin yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat menguasai negeri itu bagi mendapatkanpandangan mengenai isu ini.

Mengapa Pas dan PKR bercanggah pendapat mengenai isu Rapid di Pengerang?
Pas tidak pernah menolak pembangunan (Rapid Pengerang) asalkan ia mengambil kira kepentingan, masa depan dan juga sumber pendapatan penduduk. Pas dan PKR tidak bertentangan daripada segi prinsip. Sama ada ia akan dikekalkan atau dipindahkan ke tempat lain, perkara itu masih lagi fleksibel. Tetapi mengambil tanah hampir 10 kampung, kami memang tidak bersetuju. Asasnya, jangan diambil tanah rakyat itu. Pembangunan boleh dibuat di mana-mana pun di negara ini asalkan boleh memberi manfaat kepada rakyat, bukan menyusahkan mereka.

Apakah kelebihan dan kekurangan projek mega ini bagi Pas?
Kelebihan projek ini ialah ia akan menggalakkan lagi pelaburan di negeri Johor. Rapid boleh membangunkan industri hab minyak dan gas di negara ini. Itu tidak menjadi masalah sebagaimana di Bintulu, Kerteh dan Paka. Perkara itu tidak kami persoalkan. Saya mendapat maklumat secukupnya, tidak pernah lagi berlaku sejarah Petronas membangunkan industri mereka di atas perkampungan tradisi rakyat. Saya membuat semakan di Paka dan Kerteh, ada melibatkan sedikit pengambilan tanah kebun kelapa, tetapi bukan penempatan atau kampung tradisi. Kalau begitulah rekod Petronas, kita mahu tahu siapa yang membuat keputusan hampir 10 kampung mahu diambil. Itulah isunya.

Bagaimana pula dengan standard piawaian pembangunan projek tersebut?
Mengikut standard piawaian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tentang industri minyak dan gas, tidak boleh mengambil tanah atau perkampungan tradisi. Itu tidak akan berlaku. Perkara ini perlu jelas. Memberi manfaat dan pelaburan di negeri Johor, itu kita tidak tolak tetapi jangan sesekali mengambil tanah perkampungan di kawasan Pengerang itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menyebut isu Rapid Pengerang sengaja dipolitikkan selepas isu Lynas mula diterima rakyat, adakah benar?
Rapid Pengerang dan Lynas adalah dua isu yang berbeza. Lynas melibatkan isu alam sekitar yang memang difahami dan menimbulkan satu kontroversi cukup besar impaknya bagi negara kita termasuk masyarakat antarabangsa. Berbeza dengan isu di Pengerang, tidak boleh disamakan dengan Lynas. Beliau (Muhyiddin) perlu berfikir pada tahap seorang Timbalan Perdana Menteri dan mungkin bakal Perdana Menteri. Seharusnya beliau melihat isu tersebut sebagai isu rakyat. Kita tidak bermaksud untuk mempolitikkan apa-apa isu bagi kepentingan mana-mana pihak. Contohnya, jika saya tidak dituduh mempolitikkan isu itu dan bertanding di Pengerang, adakah saya ada jaminan menang? Jika ada pemimpin hanya berjuang di atas dasar untuk mendapatkan habuan dan kepentingan politik, mereka perlu ingat bahawa pemimpin datang dan pergi.

Apakah ini kerana YB disebut-sebut sebagai Menteri Besar Johor jika pembangkang menang di negeri itu?
Pilihan raya akan datang belum tentu saya berada di Parlimen atau Dun (Dewan Undangan Negeri) dengan menjawat apa-apa jawatan dalam parti. Kebangkitan rakyat adalah memperjuangkan hak mereka sama ada di Pengerang atau di mana-mana sahaja. Saya tampil hari ini di Johor untuk memberikan sedikit sumbangan terhadap isu ini dan paling panas apabila saya terlibat secara serius dengan Jawatankuasa Majlis Tugas-tugas Khas berkenaan pengambilan tanah di Pengerang yang dipanggil 'Mantap' adalah semata-mata untuk manfaat rakyat. Manfaat itu bukan untuk saya.

Sebaliknya, Tan Sri Muhyiddin terus mendendangkan lagu lama. Saya rasa dimensi pemikiran beliau harus berubah dengan melihat apa juga yang berlaku ini, rakyat harus mendapat manfaat daripada mana-mana pembangunan yang didirikan di dalam negara kita.  Apabila saya membuat keputusan untuk balik dan bertanding di Johor pada kali ini, tidak timbul isu siapa mahu jadi menteri besar. Isu itu hanya disensasikan media. Kami masih belum berbincang siapa akan menjadi menteri besar. Adakah saya atau sesiapapun akan menerajui PR di Johor, perbincangan kami buat masa ini adalah bersedia untuk bertanding di negeri kelahiran saya.

Sudah sampai masanya saya bersama rakan-rakan PR dapat melihat Johor hari ini adalah satu gelanggang politik yang menarik dan meyakinkan untuk berlaku satu perubahan. Kerana itu, saya rasakan tanggungjawab untuk kembali ke Johor. Dengan amanah sebagai Naib Presiden Pas paling kanan, sudah tiba masanya saya memberi dan menunjukkan pengorbanan untuk bersama-sama dengan kepimpinan PR di Johor bagi mencipta sejarah baru. Itulah niat saya. Siapa menteri besar, apa jawatan yang diberikan itu cerita kemudian selepas pilihan raya nanti.

Adakah perbezaan pendapat antara Pas dan PKR akan jejaskan PR Johor?
Pembangunan yang lestari dan memberi manfaat kepada rakyat itu tidak pernah dipertikaikan. Isu Lynas jelas mendapat tentangan kerana melibatkan isu alam sekitar yang serius. Isu Pengerang pula melibatkan pengambilan tanah kampung tradisi jelas menjadi prinsip asas dalam kami memberikan pandangan.

Tetapi untuk pembangunan, ia tidak ada masalah bagi mana-mana kerajaan. Isu berbeza daripada segi kita menangani perkara-perkara yang saya lihat daripada segi pendekatan sama ada lokasi pembangunan tersebut. Itu bukan percanggahan dari segi prinsip. Kita bersandarkan pemahaman bersama iaitu kelestarian pembangunan itu tidak bercanggah di mana 'jangan diambil tanah itu' adalah asas bersama.

Yang lain, mungkin kita boleh berbeza pandangan. Itu perkara biasa di dalam mana-mana parti menilai tentang mana-mana projek yang dirasakan sangat memberi impak kepada masa depan rakyat.

  Adakah PR yakin dapat menawan negeri yang dilabel sebagai kubu kuat Umno dan Barisan Nasional?
Pertamanya, apabila kita berani bertanding di kubu musuh, itulah nilai kita. Tak akan selamanya saya bertanding di tempat yang selesa. Sebelum ini, saya bertanding di Kelantan sebagai Ketua Pemuda Pas kerana parti merasakan saya perlu berada di Parlimen memandangkan pada masa sama, agak sukar untuk kita meraih kemenangan di Johor. Saya ambil peluang itu sebaiknya untuk menimba pengalaman di dalam dan luar Parlimen untuk menjadi wakil rakyat. Sepanjang dua penggal, sedikit sebanyak saya belajar dan seharusnya pengalaman itu dibawa ke Johor.

Ada pihak berpandangan YB begitu asing di Johor, bagaimana YB mahu membiasakan dengan keadaan itu?
Untuk pengetahuan, saya memulakan kerjaya saya di Johor pada tahun 1981. Sudah 30 tahun saya bersama Pas. Saya memegang jawatan pertama saya di Pontian, Johor sebagai Ketua Pemuda Pas kawasan Pontian. 10 tahun saya memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Pas Johor bermula 1989 hingga 1999. Daripada situlah, satu asas saya naik hingga menjadi Ketua Pemuda Pas Pusat. Jadi, saya tidak asing daripada segi komitmen di Johor.

Cuma saya dianggap terpisah kerana saya menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian. Saya tidak nampak apa yang pelik atau terasing untuk balik ke Johor kerana di situ merupakan gelanggang yang sangat dinamik dan meyakinkan untuk hadir bagi melakukan sesuatu.

Ada dakwaan mengatakan wujud dua team di Johor sejak nama YB dikaitkan dengan jawatan menteri besar. Benarkah dakwaan itu?
Saya tidak pernah mendengar wujud team A atau team B. Saya diminta oleh Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfuz Mohamad dengan persetujuan mesyuarat Badan Perhubungan Pas Johor dan juga kesepakatan PR Johor untuk mereka berjumpa saya lebih kurang setahun lalu bagi membincangkan perkara ini. Saya rasa tidak ada apa-apa agenda untuk saya balik ke Johor untuk  berpolitik atau untuk mengecewakan mana-mana pihak.

Saya juga diminta pesuruhjaya sendiri dan rakan-rakan PR Johor seperti Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan Ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng untuk bersama-sama rakyat Johor pada kali ini.  

YB sanggup meninggalkan kerusi selesa di Kubang Kerian dan menghadapi risiko di Johor?
Saya tidak ada apa-apa masalah untuk terus bertanding di Kelantan. Saya selesa bertanding di sana. Pas Pusat sendiri memutuskan pada tahun lalu untuk saya terus kekal di Kelantan. Malahan selepas Allahyarhamah Dr Lo'Lo meninggal dunia,  Pas kawasan Titiwangsa telah meminang saya untuk bertanding di kawasan tersebut.

Namun selepas berfikir panjang, inilah masanya untuk saya memberikan komitmen tinggi terhadap perkembangan yang baik di Johor serta bersama rakan-rakan di sana. Kalau saya fikir tentang keselesaan dan mahu mengekalkan elaun serta kehidupan yang agak terjamin dengan tempat yang pasti menang, itu juga saya boleh buat keputusan.

Tapi saya fikir, saya mahu balik ke Johor walaupun risikonya cukup tinggi. Yang penting, kita akan buat satu perubahan di Johor.

YB akan bertanding di Parlimen atau Dun?
Buat masa ini, saya boleh bertanding di mana-mana. Saya boleh memilih sama ada di Parlimen atau Dun atau kemungkinan untuk bertanding kedua-duanya. Tiada apa-apa masalah untuk saya.

Apakah modal terbaik untuk menawan Johor?
Saya rasa kita harus menerokai satu sejarah baru di Johor kerana tidak mungkin PR akan sampai ke Putrajaya tanpa negeri itu. Johor, Sabah dan Sarawak dianggap sebagai negeri 'deposit tetap' oleh Barisan Nasional sehingga hari ini. Mereka cukup selesa di tiga negeri itu.

Namun gelanggang politik di Johor telah berubah dan saya sudah faham dengan senario politik di sana kerana saya orang sana dan memulakan kerjaya saya di sana sejak 30 tahun lalu. Jadi apabila ada perubahan politik, saya nampak sinar yang sangat cerah untuk berlaku. Jadi penting bagi saya menjanjikan sesuatu kepada politik khususnya kepada rakyat Johor. Tanpa ada satu perubahan landskap politik di Johor itu saya rasa sukar untuk PR melangkah ke Putrajaya. Tapi Johor mesti menyumbang sebilangan kerusi Parlimen untuk kita sampai ke Putrajaya.

Dengan keadaan semasa, keyakinan Pas untuk tawan Putrajaya?
Saya punya suatu iltizam bahawa berdasarkan kepada senario politik yang berlaku pada ketika ini. PR mampu memberikan dan meletakkan posisi dirinya kepada suatu tahap di mana rakyat sudah boleh menerima kehadiran PR. Saya tidak menyatakan kita sudah sampai kepada negara yang benar-benar wujud sistem dua parti. Tapi saya melihat, inilah satu era di mana rakyat Malaysia bersedia ke arah itu. Dulu mereka tiada suatu keyakinan untuk pilih kerana tiada satu komponen yang benar-benar boleh bersaing dengan BN.

Tapi berdasarkan kepada senario selepas PRU12, apabila kita serius menubuhkan PR, rakyat dilihat sudah ada pilihan hari ini. Sama ada mereka mahu terus memberikan keyakinan terhadap BN ataupun mereka nampak satu komponen lagi iaitu PR yang dari segi kepimpinan, kredibiliti dan integriti, rakyat boleh memberikan harapan untuk berlaku satu pasukan baru dalam politik negara kita menjelang PRU13.

Bagaimana Pas menangani krisis dalaman atau membabitkan rakan komponen dalam pakatan pembangkang khususnya DAP?
Pas sebuah parti yang sangat berpengalaman kerana pemimpin boleh datang dan pergi. Tetapi parti tidak terjejas. Pas pernah kehilangan orang nombor satu, presidennya, timbalannya, naibnya, setiausaha agungnya. Ini sejarah yang pernah dilalui. Jadi, Pas tidak tersentuh dengan hal-hal seperti ini. Nak datang dengan seribu kehendak, sama dengan parti mereka akan diberikan tempat dan kepercayaan. Nak pergi, pergilah. Parti tidak rugi apa-apa. Yang rugi adalah individu yang datang dan pergi itu. Jadi bagi saya, apa yang berlaku ini, Pas belajar daripada sejarah.

Allahyarham Datuk Asri Muda pernah meninggalkan Pas. Datuk Nakhaei Ahmad juga. Bukan dari jawatan yang kecil termasuklah Datuk Dr Hasan Mohamed Ali. Riuhlah seminggu dua, tetapi Pas tidak goyah dengan mereka ini. Bagi saya, apa yang penting, rekod kita. Amanah yang diberikan itu yakin atau tidak. Yang penting adalah, Pas terus melangkah ke hadapan walaupun datang ujian sepanjang perjalanan.

Selama saya bersama Pas, saya melihat Pas tidak akan terjejas atau tergugat dengan isu kecil begini. Ada beberapa isu tidak perlu dijawab oleh parti kerana pandangan tersebut lahir daripada pandangan individu sendiri, di mana suatu ketika dulu pernah berada di tempat pemenang utama parti. Tiba-tiba apabila tiada di posisi itu, dan mengatakan perkara yang lain. Sebab itu, Pas berpengalaman menghadapi orang-orang seperti ini. Dewan tertinggi dalam parti adalah Majlis Syura yang sentiasa mengawal parti dan memastikan parti tidak tergelincir atau tersasar daripada perjuangan asal.

Selagi mana Majlis Syura yang mana saya antara pimpinan tertinggi hari ini dalam badan eksekutif, tidak menerima apa-apa syarat daripada Majlis Syura, saya tidak bimbang. Selagi Majlis Syura terus memberi keizinan untuk kita melakukan tahaluf siyasi (keputusan politik pada hari ini), maka kita akan terus laksanakan. Pandangan individu boleh diberikan tetapi yang menentukan ianya boleh atau tidak, hanya Majlis Syura. Kita hanya boleh memberi penerangan kepada seluruh ahli.

Apa komen YB terhadap bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa yang sering memberi kenyataan berbeza?
Majlis Syura sudah memanggil beliau bulan lalu. Beliau hadir pada mesyuarat itu. Segala keputusan tidak boleh dibuat oleh individu sebaliknya biarlah parti yang menentukan. Jika mahu berbeza pandangan, perlu melalui saluran parti yang boleh digunakan. Walaupun hak dan suara adalah hak individu. Jika melanggar disiplin, hadapilah risikonya. Walaupun tidak ada arahan bertulis, namun sebagai anggota parti, mereka harus faham.

Tiada ulasan: