Oleh Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) punca pelajar gagal mencapai tahap minima dalam kedua-dua subjek itu.
“Ini menunjukkan tahap kemahiran pelajar tingkatan tiga di Malaysia tiga tahun ke belakang, sama seperti pelajar darjah enam, dan ia sama sekali berbeza dengan pelajar di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai.
“Laporan ‘Trends in International Mathematics and Science Study’ menyatakan, 18 peratus pelajar Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minima bidang Matematik dan 20 peratus gagal dalam bidang Sains pada 2007.
“Dalam ‘Programe for International Student Assessment 2009′, Malaysia dalam kedudukan sepertiga terbawah dari 74 negara yang menyertai program tersebut, jauh lebih rendah dari purata antarabangsa,” kata Izzah dalam perbahasan Bajet 2013 hari ini.
Menurutnya, kadar tersebut tinggi berbanding tujuh peratus untuk bidang Matematik dan lima peratus dalam bidang Sains pada 2003 iaitu tahun PPSMI diperkenalkan dengan jumlah peruntukan hampir RM8 bilion.
“Malangnya, dengan pendedahan kelemahan begini, kerajaan masih enggan mendedahkan kandungan laporan tersebut yang amat kita perlukan untuk memberi maklum balas,” tegas Izzah.
Beliau merujuk empat laporan Panel Ulasan Bebas Malaysia dan Antarabangsa yang dikeluarkan Unesco pada 2012 dan Bank Dunia bagi suku pertama 2012.
Tambahnya, kualiti pendidikan lemah membantutkan pengupayaan generasi muda bersaing di masa depan, sedangkan kerajaan membelanjakan secara purata lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pendidikan, antara kadar tertinggi di Asia.
Dalam pada itu Izzah menjelaskan, generasi muda negara ini terus dibeban dengan hutang pinjaman seperti (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) , sedangkan kualiti pendidikan dan kelayakan untuk diambil kerja masih rendah dan tidak terjamin.
Berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2011 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), seramai 40,000 siswazah Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara masih mencari pekerjaan.
“Kita tidak boleh mendodoikan anak muda dengan rebat telefon pintar RM200 untuk mengkayakan kroni BN, tetapi kita tidak memberi tawaran selaras dengan tanggungjawab sebuah kerajaan,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan