Pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menangkis dakwaan bekas menteri kabinet Tan Sri Sanusi Junid bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menggagalkan "agenda Melayu" dengan memberi lesen perbankan kepada golongan bukan Melayu.

Nik Nazmi berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana pemimpin Melayu, termasuk bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin juga mempunyai kepentingan besar dalam bank yang didakwa dimiliki kumpulan bukan Melayu – Alliance Finance Group Bhd (AFG).

NONE"Mungkin agenda Melayu yang dimaksudkan Sanusi adalah untuk menjaga kepentingan saham kroni Umno-BN seperti bagaimana Petronas ditekan untuk menyelamatkan syarikat milik anak Mahathir, Mirzan iaitu Konsortium Perkapalan Berhad sewaktu krisis ekonomi 1997 dengan harga melebihi kadar pasaran.

"Namun yang menghalang usaha tersebut ialah Anwar," katanya Nik Nazmi yang merujuk kepada penyelamatan Petronas ke atas Konsortium Perkapalan Berhad yang menanggung kerugian RM2 bilion semasa krisis kewangan Asia 1997.

Konsortium Perkapalan Berhad pada masa itu dimiliki Datuk Mirzan Mahathir yang merupakan anak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

ADUN Seri Setia itu berkata, hubungan Daim dan AFG bermula sejak 1982 apabila bekas menteri itu membeli Malaysian French Bank, yang dikemudiannya dinamakan sebagai Multi-Purpose Bank.

Menurutnya lagi, Daim dikatakan memiliki 14.8 peratus kepentingan dalam Langkah Bahagia Sdn Bhd, yang turut memiliki kepentingan dalam AFG bersama syarikat pelaburan Singapura Temasek Holdings Ltd.

Multi-Purpose kemudiannya digabungkan dengan enam lagi institusi kewangan lain, termasuk International Bank Malaysia Bhd yang dimiliki Langkah Bahagia untuk membentuk AFG, katanya.

"Nyata sekali kenyataan Sanusi adalah fitnah semata-mata yang tidak berasas. Ketaksuban beliau di dalam menyerang Anwar dan mempertahankan Mahathir dan Daim membuatkan beliau tidak nampak penyelewengan ekonomi yang telah menjadikan rakyat Malaysia umumnya dan Melayu umumnya sebagai mangsa," kata Nik Nazmi.

sanusi junid 050608Nik Nazmi bagaimanapun tidak membangkitkan mengenai satu lagi kumpulan perbankan yang turut disebut Sanusi – Hong Leong Group.

Bekas menteri itu semalam dipetik laman The Malaysian Insider sebagai berkata, Anwar menggagalkan agenda Melayu Mahathir dengan memberi lesen kepada Hong Leong dan AFG.

Menurut laporan itu, Sanusi mendakwa Mahathir dan Daim mengangkat dasar anti-Yahudi Jerman dengan tidak memberikan lesen perbankan kepada masyarakat bukan Melayu bagi mengawal ekonomi.

Mahathir bagaimanapun menjelaskan, ia "mungkin dianggap anti-Yahudi tetapi ia bertujuan membangunkan Malaysia."