Jumaat, 12 Oktober 2012

Piala Malaysia: Perhitungan 2 gergasi elit malam ini

ZURAIMEE ZAINAL

Piala Malaysia
Piala Malaysia
 
Kesebelasan utama Selangor
Kesebelasan utama Selangor
 
Kesebelasan utama Kelantan
Kesebelasan utama Kelantan
 
MALAM ini dua gergasi elit bola sepak tempatan Selangor dan Kelantan bakal membuat perhitungan terakhir di Stadium Shah Alam bagi mengetahui pasukan mana akan menentang ATM pada aksi final Piala Malaysia 2012 di stadium sama, 20 Oktober ini.

Red Giants yang tumbang 0-1 hasil jaringan Mohd Norfarhan Muhammad minit ke-62 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, baru-baru ini pastinya mengharapkan penyudah lebih tajam jentera serangan menerusi gandingan Mohd Amri Yahyah dan Bosko Balaban untuk selangkah merealisasi Misi 33.

Pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin kemampuan anak buahnya untuk bangkit memadam defisit ketinggalan satu gol sebelum ini berdasarkan prestasi dipamerkan semasa berkunjung di gelanggang lawan berkenaan biarpun bakal beraksi tanpa pertahanan kental, Nasriq Baharom yang dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Kelantan.

Keyakinan bekas pengendali Terengganu, Perlis, Persipura Jayapura, Telekom Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan itu, adalah berdasarkan kemampuan dan keupayaan kebanyakan pemain Red Giants boleh beraksi pada semua posisi pertahanan, tengah dan serangan memberi kelebihan kepada pasukan berpusat di Shah Alam berkenaan.

Sementara status Kelantan sebagai pasukan pakej lengkap dengan reputasi juara Piala FA, juara Liga Super serta mara ke peringkat suku akhir Piala AFC sudah cukup menggerunkan setiap lawan mereka musim ini, namun The Red Warriors perlu melepasi cabaran sepanjang 90 minit berbekalkan satu gol untuk selangkah ke final seterusnya mencipta treble musim ini.

Asas dibina B Sathianathan, diperkukuhkan Datuk M Karathu, dimantapkan Peter Butler dan dibarakan Bojan Hodak nyata tidak menghampakan ribuan penyokong The Red Warriors apabila terus gah membawa Kelantan menjadi pasukan disegani dan dihormati lawan.

Ikuti analisis Sinar Harian bahagian jentera kedua-dua pasukan hebat menjelang perlawanan penting malam ini.

RATING: PENJAGA GOL

SELANGOR (7/10), KELANTAN ( 9/10)


Pengalaman bermain pada peringkat antarabangsa dan domestik menjadikan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi jauh lebih berpengalaman berbanding penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Ditambah dengan kualiti kepimpinan apabila mampu memberi arahan lebih jelas kepada jentera pertahanan pasukan, manakala Norazlan pula perlu memperbaiki komunikasi dengan bahagian pertahanan yang dilihat agak kurang efektif pada separuh akhir pertama sebelum ini.

Kesilapan mudah seperti dilakukan dalam perlawanan sebelum ini perlu dihindari bagi mengelakkan Selangor berputih mata lebih awal.

RATING: PERTAHANAN

SELANGOR (8/10), KELANTAN (9/10)

Benteng pertahanan kelebihan masih berpihak kepada The Red Warriors, keserasian antara Nwaneri, Subramaniam, Nik Shahrul dan Daudsu menjadikan kubu pasukan negeri Cik Siti Wan Kembang lebih kental mengekang asakan jentera lawan.

Selangor pula ketiadaan, Nasriq Baharom bakal memberi tamparan hebat kepada bahagian ini, namun kemampuan Ramez Dayoub membentuk kesefahaman dengan Razman Roslan dan P Gunalan nyata boleh memberi kesan besar kepada penyudah Kelantan ditambah kehadiran Asraruddin Putra Omar.

RATING: TENGAH

SELANGOR (8/10), KELANTAN (9/10)

Kelebihan masih berpihak kepada Kelantan andainya Hodak mahu menggunakan formasi 4-5-1 Shakir, Baddri, Norfarhan, Nurul Azwan Roya itu sudah cukup memberi tekanan kepada benteng pertahanan lawan dalam usaha memburu gol penyamaan.

Manakala, jentera tengah Selangor dikemudi Ketua Pasukan, Shafiq Rahim perlu lebih sokongan bahagian kiri dan kanan baik Amirul Hadi, K Solehin serta pemain pinjaman dari Universiti Sains Malaysia (USM), S Venood untuk merobek gawang lawan.

RATING: SERANGAN

SELANGOR (8/10), KELANTAN (9/10)

Jentera penyudah Kelantan andai dikemudi Ghaddar juga tidak kurang sengatnya ditambah dengan prestasi cemerlang Ghaddar yang mampu beraksi di bawah tekanan tinggi seperti dipamerkan ketika membantu Kelantan menewaskan Felda United pada suku akhir kedua sebelum ini. Namun, Norshahrul Idlan masih sandaran memburu gol. Gandingan Amri Yahyah dan Balaban semasa separuh akhir pertama perlu lebih sengat.

Rozaimi Abdul Rahman mampu mengatasi masalah kurangan sengatan penyudah, pada masa sama Amri diletakkan di bahagian tengah membantu Shafiq.

Tiada ulasan: