KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Wanita Pakatan Rakyat membidas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Najib Razak kerana memperlekeh peranan wanita dalam pembangunan negara.Ini berikutan Najib dalam ucapannya sempena Hari Wanita Kebangsaan 2012 semalam mengatakan pergerakan menuntut hak wanita adalah tidak perlu kerana wanita telah diberikan hak mereka sejak kemerdekaan lagi.
Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, Perdana Menteri itu meremeh dan menghina golongan wanita kerana cuba membandingkan golongan itu dengan negara luar.
“Najib memperlekehkan wanita sedangkan kita berada di tahap pemberdayaan wanita dan mengarus perdanakan peranan wanita.
“Proses pemberdayaan ini amat lemah apabila laporan dalam The Global Gender Index Gap 2011 menyatakan Malaysia berada pada kedudukan 97 dari 135 negara dalam empat aspek penilaian iaitu penglibatan dan peluang ekonomi, pencapaian pembelajaran, kelangsungan kesihatan dan hidup dan pemberdayaan politik,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, Wanita Pakatan Rakyat berpendirian lantikan Najib sebagai Menteri Wanita adalah kesilapan besar yang terpaksa ditanggung seluruh wanita Malaysia.
“Najib gagal mendapat nasihat yang tepat dari kepimpinan Wanita Umno BN.
“Berbeza dengan Pakatan melalui Agenda Wanita Malaysianya menawarkan polisi yang mesra gender akan mengangkat martabat dan membela wanita, bukannya meremeh temehkan peranan wanita,” katanya lapor Harakah Daily.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff tidak menolak jika Najib terus memegang jawatan Menteri Wanita menyebabkan kedudukan pemberdayaan politik wanita dalam Gender Global Index akan menjunam jauh daripada kedudukan sekarang iaitu 115.
“Ini satu penghinaan kepada wanita Malaysia, seolah-olah wanita Malaysia menghala ke jalan buntu.
“Sebaliknya Agenda Wanita Malaysia yang ditawarkan Wanita Pakatan Rakyat fokus kepada tujuh tumpuan yang mana empat tumpuan di atas diterapkan sebagai kayu pengukur dalam pemberdayaan wanita Malaysia,” kata Ahli Parlimen Rantau Panjang itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan