Rabu, 17 Oktober 2012

Pemuda PAS lapor polis isu twitter Tan Keng Liang

HARAKAH DAILY
 

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan bersifat fitnah dan hasutan oleh Ketua Pemuda Parti Gerakan, Tan Keng Liang pada 15 Oktober yang lalu.

Ketuanya, Kamaruzzaman Mohamad berkata, pihaknya memandang serius isu tulisan Ketua Pemuda Gerakan Kedah dalam twitternya itu yang didakwa bersifat jahat dan provokasi.

Kandungan tulisan itu antara lain mempersoal dan mempersenda arahan pakaian sopan kepada bukan Islam dan menutup aurat kepada orang Islam.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Dang Wangi pagi tadi.

“Beliau cuba membangkitkan sentimen kebencian rakyat khususnya golongan bukan Islam terhadap PAS dengan mengada-adakan cerita yang tidak masuk akal.”

“Beliau juga memfitnah PAS dengan membangkitkan kononnya PAS akan bertindak keras dan tegas terhadap golongan bukan Islam sekiranya PAS memenangi Putrajaya kelak," katanya pada sidang media sejurus selesai membuat laporan.

PAS ujarnya tidak pernah memaksa bukan Islam untuk mengikut segala perintah yang dikenakan kepada orang Islam sebaliknya memberi kebebasan memilih dan mengamalkan agama dan budaya mereka tanpa sekatan.

Selain Kamaruzzaman, rombongam mereka turut disertai Timbalan Ketua Pemuda PAS WP, Mohamad Suhaimi Abd Aziz, Ketua Dewan Muslimat PAS WP, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS WP, Haji Amran Abd. Majid dan ahli-ahli PAS WP bersama pimpinan DPPWP yang lain.

Sementara itu semalam, PAS kawasan Sabak Bernam turut membuat tindakan serupa, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam.

Laporan diketuai Ketua Dewan Pemuda Ustaz Labib Abd Jalil bersama Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor Azhar Achil.

Dalam polis itu, mereka mendesak pihak polis menyiasat tulisan itu yang didakwa telah menghina agama Islam.

“Tan bukan sahaja menghina kepercayaan agama lain malah telah mengelirukan perkara sebenar tentang Islam. Soal menutup aurat bukan arahan parti PAS tetapi ianya adalah tuntutan Islam.

“SAMM mendesak polis membuka kertas siasatan dan Tan perlu ditahan dan telefon bimbitnya perlu dirampas sebagai bahan bukti tambahan dan dia perlu dihukum sewajarnya, “ kata Azhar.

Laporan sama turut dibuat Pemuda PAS Negeri Sembilan yang diketuai ketuanya Mohd Khairil Anuar Wafa dan ketua penerangan, Norazman Mohamad.

Turut serta wakil SAMM Negeri Sembilan yang diketuai penyelaras bersama negeri, Norazizi A Aziz.

“Twitter Tan benar-benar ‘kurang ajar’ dan menghina Islam. Dia menyatakan arahan Kerajaan PAS Kedah yang menasihatkan model lelaki yang muncul di papan iklan (billboard) berpakaian sopan dan tidak memakai seluar pendek kerana takut lelaki ‘jambu’ di dalam PAS terangsang.

“Malah Tan lebih ‘kurang ajar’ apabila berkata seandainya jika PAS menguasai Putrajaya, semua atlit termasuk bukan Islam mesti memakai seluar panjang dan baju berlengan panjang," kata Norazizi.

Tiada ulasan: