Ahad, 7 Oktober 2012

Pelanggaran BN terhadap “Borneosasi”: Diskriminasi terhadap bumiputera dan rakyat Sabah

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: DAP memandang serius sebarang pencabulan dasar untuk menyeimbangi keperluan dan keadilan terhadap negeri-negeri Malaysia Timur dan menyifatkan kerajaan BN telah melanggar Perkara 8 berkenaan Borneosasi yang mengundang ketidakadilan sosio ekonomi negeri tersebut apalagi setelah 49 tahun bersama Malaysia.

“Kebelakangan ini slogan kegemaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah “Janji Ditepati”. Sudahkah Perkara 8 di dalam Perjanjian 20 Perkara berkenaan Borneonisasi telah ditepati?” soal Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalah ucapan perbahasan belanjawan 2013 di parlimen petang tadi.

Menurut beliau kegagalan Barisan Nasional menghormati “Borneonisasi” yang termaktub dalam Perjanjian 18 Perkara yang telah ditekankan oleh cadangan Tun Zaki Azmi, Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam telah mengakibatkan kesengsaraan, peminggiran serta diskriminasi oleh kaum Dayak dan golongan etnik minoriti yang berhubung dengan sektor perkhidmatan awam.

Suruhanjaya ini menurutnya adalah untuk menurunkan syarat keperluan bagi kaum Dayak dan golongan etnik minoriti untuk direkrut ke dalam sektor perkhidmatan awam dan juga untuk meneliti ketidakseimbangan komposisi kaum didalam barisan perkhidmatan awam.

“Cadangan Tun Zaki tersebut telah diserang oleh pemimpin Dayak dari kedua-dua pihak politik yang berlainan dan dianggap sebagai satu sindiran komuniti Dayak, diatas tanggapan bahawa bilangan warga Dayak dan golingan minoriti yang berkelulusan adalah mencukupi,

“Akan tetapi masalah sebenarnya adalah ketiadaan meritokrasi bukan sahaja dalam usaha perekrutan serta promosi dalam sektor perkhidmatan awam,” kata beliau.

Justeru katanya, kita sepatutnya berterima kasih kepada Zaki kerana telah mengetengahkan kegagalan Barisan Nasional untuk melaksanakan Borneonisasi seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian 18 Perkara bagi Sarawak dan Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dalam tempoh lima dekad ini.

Menjelaskan perkara tersebut, Kit siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, Perkara 8 di dalam Perjanjian 20 Perkara Sabah dan Perjanjian 18 Perkara Sarawak pada tahun 1963 yang membawa kepada penubuhan Malaysia menyebut, “Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.”

Kerajaan BN diskriminasi Bumiputera Sabah 

Dalam jawapan kepada soalan ketua Parlimen DAP itu di Parlimen, Perdana Menteri telah mendedahkan bahawa dari 133 Jabatan Persekutuan (termasuk badan berkanun Persekutuan) di Sabah, 61 atau 45.9peratus agensi diketuai oleh rakyat Sabah manakala hanya 72 atau 54.1 peratus diketuai oleh bukan rakyat Sabah.

Berdasarkan jawapan Perdana Menteri katanya, sehingga 14 September 2012, pegawai berkelahiran Sabah yang memegang jawatan tertinggi (Gred Utama/Khas dan keatas) di Perkhidmatan Awam Persekutuan ialah seramai 19 orang.

“Daripada jumlah tersebut, seorang pegawai masing-masing berada di Gred Utama Turus 1, Gred Utama Turus 2 dan Gred Utama A. Tiga orang pegawai pula di Gred Utama B serta tiga belas pegawai di Gred Utama dan Gred Khas C.”

“Adakah Janji Ditepati?” soal beliau kepada Dewan Rakyat. – Roketkini.com

Tiada ulasan: