Dalam kejadian pertama pada jam 7 pagi, motosikal yang ditunggang mangsa, R Selaraseh, 19, dari Sungai Lui, Raub, Pahang dipercayai terbabas setelah dilanggar sebuah kenderaan sebelum dirempuh sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios yang gagal mengelak mangsa yang ketika itu terjatuh di tepi jalan.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, Selaraseh berada di laluan kanan lebuh raya dari Kuala Lumpur menghala ke Shah Alam dan tidak menggunakan laluan motosikal ketika kejadian.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala maut di tempat kejadian,” katanya.
Selang dua jam selepas kejadian itu katanya, berlaku satu lagi kemalangan melibatkan motosikal di lokasi sama tetapi kejadian di laluan bertentangan.
Abdullah berkata, mangsa, Muhammad Amirul Mazlan, 19, penuntut Jurusan Diploma Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berasal dari Kampung Baru Kerteh, Kemaman, Terengganu maut di tempat kejadian.
“Motosikal ditunggang Muhammad Amirul dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terseret sejauh kira-kira 10 meter.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala maut di tempat kejadian dan siasatan mendapati dia juga tidak menggunakan laluan motosikal.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan