Jumaat, 12 Oktober 2012

Nik Aziz: DAP tidak pernah ganggu Pas

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

Nik Aziz
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hairan dengan sikap sesetengah pihak termasuk ahli Pas yang mengkritik kerjasama parti itu dengan DAP.

Nik Aziz berkata, sebagai sebuah rakan Pakatan Rakyat (PR), DAP tidak pernah mengacau perjuangan Pas, malah menegaskan kerjasama antara dua parti itu perlu untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya pun tidak tahu mengapa tersasar, orang berkenaan tidak sebut mengapa kita beralah dengan DAP, jadi tidak tahu kenapa, yang keduanya saya tidak nampak DAP ganggu kita.

“Masalahnya orang-orang Pas tengok televisyen, dengar radio dan baca surat khabar Umno, jadi terbawa-bawa. Jadi oleh yang demikian saya nasihat orang Pas boleh baca surat khabar Umno, tapi kena ada jawapanlah,” katanya.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad bahawa perjuangan politik Pas tidak lagi menepati kehendak Islam sejak parti itu bekerjasama dengan DAP.

Dalam masa yang sama, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa beberapa kali mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa terdapat pemimpin Dap menolak Islam.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Pas akan terus bekerjasama dengan DAP, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan hairan mengapa orang sebut kemenangan Pas ketika ini disebabkan menumpang DAP.

“Saya rasa pelik ada orang sebut kemenangan kita sekarang ini menumpang DAP. Saya mahu tanya balik bila kemenangan tidak menumpang. Malah sewaktu zaman Rasulullah SAW sampai Madinah, beliau ada buat perjanjian dengan kaum Yahudi.

“Jadi tidak ada kemenangan yang tidak menumpang orang lain. Lebih-lebih lagi sekarang kita guna sistem pilihan raya nak undi Cina, nak undi India,” katanya.

Tiada ulasan: