Jumaat, 12 Oktober 2012

Negara Kristian lagi…

 Oleh : Adil Mat Selamat



Sedang rakyat fokus memikir dan menilai belanjawan Barisan Nasional dan juga Belanjawan Pakatan Rakyat, perhatian kita dialih lagi dengan isu lama iaitu isu agama. Hal ini sudah menjadi klise yang cukup membosankan macam kisah drama Melayu dengan babak di lapangan terbang untuk sambut atau menghantar anak – bakal menantu pergi ‘oversea’ atau pulang ke tanahair, dan dan disambung drama tentang nak kahwinkan anak dengan si polan bin si polan, anak Tan Sri kaya.

Adakah ini tahap mentaliti dan budaya politik kita? Tuduhan itu suatu hal, tetapi tuduhan itu pun tidak melambangkan kematangan politikus kita yang kononnya hero Melayu dan Islam.

Tuduhan kata ‘doa nak jadikan negara ini negara Kristian’ ini hanyalah kes tembakan rambang, tidak kira siapa kena tidak kira berapa yang kena, janji tembak. Ini kerja orang terdesak.

Kerja politikus

Sekalipun wujud kes seperti itu, ia bukanlah isu dasar yang berkaitan langsung dengan urusan penting pentadbiran negara, ia juga bukan isu bagaimana mahu mengurus ekonomi dan wang rakyat. Ia bukan isu rasuah atau salahguna kuasa yang melibatkan ribuan hak rakyat. Ia tiada kaitan sama sekali.

Tetapi mengapa seorang politikus yang kerjanya membuat dasar dan mengurus dasar perlu bercakap isu ‘doa penganut Kristian’?
Bukankah doa setiap penganut itu adalah hak mereka? Mengapa pula mahu diceroboh hingga doa peribadi mereka kepada Tuhan mereka pun orang politik nak tentukan? Itu jika kes tersebut benar-benar berlaku, jika tidak bagaimana? Bukankah itu satu fitnah yang berbahaya?

Jika seribu kali pun doa mana-mana penganut dari mana-mana agama untuk mohon itu atau ini, jika tidak dimakbulkan oleh Tuhan, tidak juga akan terlaksana. Tetapi jika dimakbulkan oleh Tuhan, adakah kita nak menyalahkan Tuhan pula?

Orang politik kerjanya membuat dasar, mengkaji dasar dan melaksanakan dasar-dasar yang disepakati. Dasar ini pula apa maknanya?

Maksud kerja membuat dasar ini adalah kerja politik untuk membentuk sesuatu dasar pengurusan dalam konteks sebuah negara. Ia merangkumi dasar ekonomi, dasar pendidikan, dasar sosial dan sebagainya. Ia juga akan melibatkan proses perundangan dan perlaksanaan.

Kerja politikus bukanlah seperti polis iaitu menguatkuasakan undang-undang yang berlandaskan sesuatu dasar yang telah dibentuk di Parlimen. Kerja politikus juga bukanlah kerja memantau doa penganut sesuatu agama. Malah kerja politikus bukanlah kerja menentukan apa yang boleh didoa atau apa yang tidak boleh didoakan.

Ada tugas yang lebih penting 

Kerja yang berkaitan dengan urusan agama biarlah pemimpin agama itu sendiri yang uruskan, apatah lagi ia melibatkan agama yang berbeza dari seseorang yang ingin mengkritik atau mencadangkan.
Politikus yang tandus agenda perjuangan akan meracau mencari isu untuk melalaikan kita dari menumpukan perhatian untuk melawan rasuah dan salahguna kuasa yang sedang berleluasa ketika ini.

Rasuah kini di Malaysia sudah amat kronik. Rasuah dan salahguna kuasa telah dan akan membuatkan banyak hak rakyat dirampas dan maruah mereka dizalimi. Doa orang yang dianiaya akan mudah dimakbulkan tuhan. Ingatlah itu. – Roketkini.com

Tiada ulasan: