Ahad, 21 Oktober 2012

Najib menari Gangnam Style dalam parlimen


Oleh Lim Hong Siang


"Gangnam dan Kolaveri ini lebih popular dari lagu Negaraku." Demikianlah kenyataan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, SK Devamany, yang semestinya dipanah dengan tuduhan "menghina Negaraku", seandainya terlanjur dari bibir pimpinan Pakatan Rakyat.

Saya tidak berniat untuk membunuh perbincangan dengan desakan agar SK Devamany "disenyapkan", tetapi lebih berminat untuk mengkaji fenomena di sebalik "Gangnam Style" (gaya Gangnam), yang dipopularkan oleh seorang penyanyi Korea bernama PSY.

Lagu ini tidak akan hangat tanpa video muzik (MV)-nya. Saya yang tidak fasih bahasa Korea gagal memahami mengapa MV ini popular selepas menontonnya untuk kali pertama. PSY bukannya kacak, tetapi cuma seorang "uncle" yang pendek dan gemuk. Dengan mengulangi gerak-geri tariannya seolah-olah sedang menunggang kuda, ia mencetus kegilaan orang ramai untuk mencedok MV ini, dengan menyusup unsur "gaya" tempatan yang tersendiri.

Saya mencari terjemahannya, malah menelaah ulasan MV ini di internet. Rupa-rupanya setiap adegan MV-nya mempunyai maksud yang tersirat. Temanya mengkritik masyarakat Korea Selatan yang buta mengejar kemewahan kebendaan, mendodoikan diri dengan khayalan bahawa segala-galanya adalah indah. Malah, gerak-geri menunggang kuda dikatakan sebagai sindiran terhadap masyarakat elit, yang menganggap aktiviti ini sebagai hobi golongan atasan.

Saya tertarik dengan kupasan yang mengaitkannya dengan keadaan ekonomi di Korea. Korea pada asalnya terkenal dengan amalan "menabung", malah "wang tabungan keluarga" menjadi sumber modal kebangkitan ekonomi Korea. Tetapi, selepas kemelut ekonomi pada tahun 1997, amalan menabung dan budaya berjimat-cermat ini telah dimusnahkan. "Membelanja" menjadi tunggak pembangunan ekonomi.

Secara luarannya, Korea mencatat angka pertumbuhan yang mengejut. Namun, masyarakat Korea telah membayar harga di sebaliknya. Secara puratanya, setiap isi keluarga Korea menanggung hutang kira-kira RM100 ribu pada tahun 2011; dari kalangan buruh yang berumur 25-54 tahun, 19.3% adalah pekerja sementara, dengan beza gaji pada 4.7 kali ganda. Pada tahun 2012, lebih daripada 50% pekerja tidak mempunyai lebihan wang untuk disimpan sebagai wang tabung selepas menolak kos belanja hariannya, dan lebih satu pertiga (34.7%) daripada rakyatnya memikul beban hutang.

Dengan latar belakang ini, maka kita memahami adegan-adegan dalam MV yang berbau sinis. Dalam MV itu, PSY berkhayal bahawa dirinya orang kenamaan yang ditemani dengan gadis cantik, berjalan di atas permaidani merah, padahal dia hanya berjalan di lapangan letak kereta yang kosong, disambut dengan sampah dan salji. PSY berkhayal menari di kelab malam kelas tinggi, padahal dia hanya menari di bas murahan bersama makcik-makcik.

Maknanya, PSY cuba mengkritik fenomena masyarakat Korea yang memabukkan diri dengan angka ekonomi rekaan yang cantik, malah untuk mengaburi hakikat bahawa jurang kaya-miskin semakin lebar. Saya kira ramai yang terkesan dengan kritikan tersebut, memandangkan jurang kaya-miskin adalah fenomena di serata dunia, yang kini hampir kesemua negara diserap ke dalam sistem kapitalisme - mahu atau tidak.

Bayangkan, di Malaysia, lebih 50% isi keluarga berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah. Namun kita hidup di tengah-tengah kota untuk menghirup secawan kopi Starbucks berharga belasan ringgit. Kita membayar wang parking kereta kira-kira RM10 di sesetengah tempat jika singgah untuk tiga jam. Kita membeli seunit rumah yang tidak sebesar mana dengan RM350 ribu ke atas di Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya RM1,000 dibelanjakan setiap bulan untuk memiliki sebuah kereta (termasuk pinjaman, minyak, tol, parking, servis dan sebagainya), yang hampir boleh ditukar apabila pinjaman bank habis dilangsaikan.

Kemudian anak muda kita diberi rebat RM200 untuk membeli telefon bimbit 3G, tatkala iphone mencatat harga RM2,000 ke atas. Persoalan yang terpampang di depan kita, benarkah kita mampu untuk menikmati kehidupan sedemikian? Atau padahalnya kita sedang meniup buih ekonomi yang akan pecah berkecai satu hari nanti?

Mungkin ramai yang ghairah dengan gula-gula yang ditaburkan dalam Bajet 2013, sehingga harga gula meningkat kerana kehabisan stok. Sementara kita beratur mengisi borang untuk mendapat BR1M 2.0, yang ternyata jelas dengan angka 5 diikuti dua sifar, saya yakin kebanyakan dari kalangan kita tidak tahu berapa sifar yang ada dalam statistik hutang negara, yang dikatakan telah menghampiri RM600 bilion, menurut peguam veteran, Tommy Thomas.

Kolumnis Tay Tian Yan telah menulis satu artikel berjudul "Bajet Gangnam Style", disiarkan di Sin Chew Daily pada 4 Oktober. Berbeza dengan pujiannya terhadap Bajet 2013 sebelum ini, Tay mengkritik secara berlapik, seakan-akan terlupa bahawa Najib adalah Menteri Kewangan yang membentangkan Bajet 2013.

Padahal, Najib bagai PSY, berkhayal bahawa dirinya sedang menabur wang di merata-rata, agar mereka yang mengutipnya menggunakan wang itu untuk merangsang angka ekonomi. Realitinya, belum lagi ekonomi dirangsang, hutang negara telah melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah.

Maka saya menyeru, jangan kita buang masa untuk mengutuk SK Devamany atau mendesak agar polis menangkap Timbalan Menteri ini. Yang menghina Negaraku bukan SK Devamany, tetapi lelaki pendek dan gemuk dalam Dewan Rakyat yang ghairah menunggang kepentingan rakyat ketika membentangkan Bajet 2013!

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

Tiada ulasan: