Selasa, 16 Oktober 2012

MP Pakatan pertikai bantuan JKM tiada rekod dalam Audit

Oleh Aedi Asri

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail mempersoal ketiadaan penilaian ke atas setiap bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Laporan Audit 2011.

“Saya terkejut kerana tiada sebarang penilaian dibuat tentang keberkesanan bantuan yang diberi JKM sejak dahulu…Sebab yang dinyatakan adalah jabatan bertanggungjawab tiada rekod (bantuan),” katanya.

Azan berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 bacaan kedua di Parlimen hari ini.

Beliau juga hairan tiada usaha dilakukan untuk mengatasi isu berkenaan, walaupun perkara ini dibangkitkan lima kali dalam Laporan-laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 turut menyatakan lebih 63 peratus bantuan yang diberi tidak mengikut prosedur dan tiada laporan yang diterima.

“Jadi siapa yang dapat bantuan? Adakah bantuan ditabur sesuka hati, tanpa rekod dan statistik?” soalnya.
“Sampai bila-bila pun kita akan merasa ragu (berhubung keberkesanan bantuan) kalau tiada penilaian (rasmi) dibuat,” kata Azan lagi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kei bagaimanapun berkata, beliau hanya akan menjawab soalan itu semasa penggulungan perbahasan nanti.

LKAN 2011 yang dibentangkan semalam melaporkan, JKM mempunyai kelemahan apabila gagal menyelesaikan hal berbangkit yang dikemukakan dalam LKAN bagi tahun 2009.

Mengikut laporan itu, tiga skim di bawah JKM telah diaudit iaitu Bantuan Orang Tua, Elaun Pekerja Cacat dan bantuan Kanak-kanak.

“Pengauditan yang dijalankan antara bulan Jun hingga September 2011 mendapati masih terdapat kelemahan dalam pengurusan program ini di mana isu yang pernah dibangkitkan dalam LKAN 2009 masih lagi berlaku di lapan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian (PKMD/J/B) yang dilawati.

“Pengauditan ini dijalankan dengan menyemak 719 fail individu penerima bantuan (fail kes) di samping dokumen-dokumen lain seperti daftar permohonan, laporan siasatan, minit kelulusan dan rekod pembayaran,” kata laporan itu.

Antara kelemahan pentadbiran yang dinyatakan ialah proses siasatan bagi 114 (33.4 peratus) daripada 341 permohonan tidak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam Piagam Pelanggan.

“Pemakluman keputusan bagi 275 (57.1 peratus) daripada 482 permohonan melewati Piagam Pelanggan yang ditetapkan dengan kelewatan antara 8 hingga 910 hari.

“Wang bantuan yang tidak dapat diagihkan berjumlah RM1.58 juta melibatkan 778 baucar lewat dimasukkan ke dalam akaun bank kerajaan di antara 7 hingga 245 hari,” laporan itu dipetik.

Walaupun JKM menurut laporan itu telah mengambil inisiatif memperkemaskan pengurusan Skim Bantuan Kebajikan Masyarat dan memberikan penjelasan bertulis kepada pihak Audit pada Mac 2010, namun tindakan yang diambil belum mendatangkan kesan sepenuhnya.

Tiada ulasan: