Kerajaan tidak pernah membatalkan pelaksanaan projek menaik taraf jalan persekutuan dari Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
  
Sebaliknya projek itu ditangguh sementara bagi membolehkan kerajaan menilai semula skop, spesifikasi dan kos projek berkenaan, katanya.
  
"Kerajaan berpandangan cadangan harga kontrak yang pihak kontraktor tawarkan untuk laksanakan projek itu secara 'design and build' amatlah tinggi iaitu RM1.6 bilion untuk jajaran sepanjang 77 kilometer.
  
"Berdasarkan perancangan semula, cadangan projek menaik taraf jalan Kota Bharu-Kuala Krai akan diberi keutamaan dan pertimbangan oleh kementerian untuk dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
  
Projek itu merupakan sebahagian daripada jajaran Jalan Persekutuan Central Spine dari Pahang ke Kelantan dengan cadangan menaiktaraf Jalan Kota Bharu-Kuala Krai yang diluluskan secara prinsip pada tahun 2008.
  
Dalam pada itu, Shaziman menyelar kerajaan PAS Kelantan yang berhasrat membina lebuh raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai dengan hanya bergantung kepada kutipan derma walaupun kos pembinaan dianggar RM1.8 bilion.
  
"Saya hairan kerana projek lebuh raya tak bertol ini harganya besar
sedangkan defisit Kelantan pun besar. Difahamkan kira-kira RM80 juta hingga RM90 juta tahun ini.
  
"Sebagai seorang Islam, lebih penting kalau kita beri keutamaan dari segi air kerana itu hak rakyat yang perlu disediakan. Jalan dah ada, cuma perlu diperbaiki," katanya.
  
Terdahulu, menjawab celahan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) sama ada kerajaan persekutuan bercadang berbincang dengan kerajaan negeri Kelantan mengenai projek lebuh raya itu supaya tidak timbul pertindihan, Shaziman berkata kementerian bersedia untuk berbuat demikian.
  
"Cuma saya tak yakin RM1.8 bilion boleh dapat secara kutipan derma," katanya.
  
Bagaimanapun, Shaziman berkata kementerian tidak menerima sebarang permohonan atau pemberitahuan bahawa kerajaan Kelantan mahu membina lebuh raya itu. Bernama