Isnin, 22 Oktober 2012

Melayu tak berpecah, hanya konflik politik

NURUL AINI MOHAMED ALI

Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusuf
Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusuf
 
ANALISIS - Isu perpecahan di kalangan kaum Melayu sebenarnya bukan baru.

Ia menjadi bahan perbualan hangat sejak selepas Pilihan Raya Umum 2008. Lebih-lebih ia sendiri pernah dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lipatan laporan media sepanjang tiga tahun lalu membuktikan perkara ini.

Hujung minggu lalu, Dr Mahathir, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), menafikan beliau sebagai punca perpecahan orang Melayu. Malah kata beliau, tindakannya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal September 1998 bukan punca perpecahan.

Mengulas perkara itu, penganalisis-penganalisis yang dihubungi Sinar Harian Online juga berpandangan sedemikian.

Sebaliknya penganalisis menekankan ideologi yang berlainan di kalangan kaum Melayu adalah asas puncanya.

Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, tidak wajar menuding jari ke arah Perdana Menteri keempat itu sebagai punca perpecahan di kalangan Melayu. Ini kerana kata beliau, sejak dulu lagi sememangnya Melayu ini hidup dalam kelompok berpuak-puak.

"Bukan kerana Tun Mahathir pecat Anwar Melayu jadi berpecah-belah, sebaliknya sikap orang Melayu sendiri yang menjadi punca.

"Kalau kita lihat terlalu ramai golongan yang terlalu ekstrem berpolitik, ahli Umno ekstrem dengan Umno, ahli Pas ekstrem dengan Pas termasuk juga penyokong parti lain," katanya.

"Jadi dapat saya lihat di sini, budaya politik yang terlalu ekstrem ini menjadi punca utama tetapi ia bukan dipanggil perpecahan Melayu, sebaliknya konflik politik di kalangan Melayu," ulas beliau.

Tambahnya, golongan yang ekstrem politik ini bukan sesuatu yang baru kerana ia wujud sejak dulu lagi.

"Jangan kita panggil Melayu berpecah disebabkan Tun Mahathir, andaian ini kurang tepat," katanya.

Tambah beliau, "masyarakat negara ini harus mencari 'unity in diversity', bukan kesatuan dalam persamaan," katanya.

Dr Mahathir, Presiden Umno kelima, melepaskan jawatan Perdana Menteri dan jawatan parti itu selepas 22 tahun. Beliau menggantikan Tun Hussein Onn dan pada Oktober 2003, Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikannya.

Seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia,  Prof Dr Jayum Jawan turut berpendapat tidak ada gunanya bagi kita menuding jari ke atas Dr Mahathir.

"Adalah sesuatu yang tidak tepat bagi kita menuding jari kerana dunia kini sudah berubah dan masyarakat kini sudah semakin bijak bagi menerima polemik politik negara," katanya.

Beliau turut menolak yang Melayu kini sudah berpecah kerana dari pemerhatian, terlalu banyak pendedahan politik yang diterima masyarakat kini menyebabkan mereka selesa.

"Rakyat kini bukan melihat parti politik lagi bagi bergantung harap tetapi mereka semakin bijak melihat saluran yang ditawarkan oleh parti politik ini," katanya.

Berbanding sebelum ini, orang Melayu yang sudah masak dengan politik domestik sudah ada banyak pilihan – bagi menentukan parti yang sesuai dans selari dengan cita rasa ideologi mereka.

Sehubungan itu beliau menarik perhatian bahawa Dr Mahathir memberi banyak perubahan besar kepada negara dan ini tidak menjadi isu, malah menjadi satu kebanggaan negara.

"Memang Tun Mahathir yang patut bertanggungjawab dalam pemikiran Melayu kini kerana beliau yang membawa kepada perubahan pemikiran masyarakat, bukan punca Melayu berpecah," ujarnya.

Isu perpecahan di kalangan masyarakat Melayu tidak seharusnya timbul kerana kita semua sedia maklum Melayu juga yang melengkapi dalam semua parti-parti politik negara ini.

"Melayu memang terbahagi kepada dua jika dikira dalam politik, ada yang lebih menjurus kepada Umno, ada yang menjurus kepada Pas, tetapi diri sendiri yang harus bijak menilai mana baik, mana buruk," katanya.

Sementara Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menjelang tiba, Jayum menambah, rakyat kini menilai parti politik yang mampu menawarkan pakej lebih baik dan calon mereka yang akan dipilih bagi memimpin negara.

Semasa dianjukan soalan yang ini, BN yang memerintah sejak negara merdeka  mempertahankan Dr Mahathir dalam isu memecat Anwar. Ketika itu Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno. Malah menyandang jawatan Menteri Kewangan.

Kini Anwar mengetuai Pakatan Rakyat dan bertindak sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan percaya Dr Mahathir memecat bekas timbalannya atas sebab yang munasabah dan oleh  itu, tidak adil mendakwa mantan perdana menteri itu menjadi punca perpecahan Melayu.

"Anwar sendiri memberi imej negatif kepada masyarakat Melayu, sebab sikap peribadi beliau ini sebenarnya yang membawa kepada perpecahan," katanya kepada Sinar Harian Online.

"Tidak sepatutnya Melayu berpecah disebabkan Anwar dipecat satu ketika dulu, ia tidak masuk akal," tegasnya.

Beliau menambah, Anwar sengaja meminta simpati rakyat seakan-akan beliau dizalimi sedangkan ia berpunca dari kes peribadinya sendiri yang rakyat negara ini mampu menilai sendiri sejauh mana kebenarannya.

"Kita juga perlu lihat bagaimana Melayu terlalu yakin dengan Pas yang kononnya mahu memperjuangkan Islam sebaliknya moto mereka kini seakan-akan sudah bertukar kepada negara berkebajikan yang sudah lama Umno laksanakan," kata wakil rakyat ini.

Parti komponen BN, MIC turut berpendapat yang pemecatan Anwar bukan menjadi punca utama Melayu negara ini berpecah.

"Tindakan beliau ketika itu betul dan beliau hanya mempertahankan kedudukannya sebagai perdana menteri dan mahu berlaku adil terhadap timbalannya," kata Setiausaha Agungnya, Datuk S. Murugessan.

Menurutnya lagi, keadaan teknologi kini yang semakin berkembang juga menyebabkan banyak berlaku fitnah dan semakin banyak ruang bagi mereka yang tidak bertanggungjawab memberi pandangan paribadi masing-masing.

"Sangat tidak adil jika tuduh bekas pemimpin negara sebegitu rupa, kita perlu ingat perjuangan beliau dalam membangunkan negara," ujarnya.

Beliau menambah, berbeza pandangan di kalangan masyarakat Melayu tidak seharusnya menjadi punca kepada perpecahan.

"Saya tidak setuju jika Tun Mahathir dituduh begitu, ia sangat tidak adil," tegasnya.

Jika berundur, lipatan sejarah menunjukkan bahawa polemik mengenai perpecahan di kalangan Melayu sudah wujud lama. Malah ia menjadi bahan perbualan sejak Tun Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan disusuli dengan pertandingan sengit pemilihan jawatan Majlis Tertinggi Umno pada 1987.

Sepanjang lima dekad ini, isu ini menjadi fokus utama selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Tiada ulasan: