Rabu, 24 Oktober 2012

Melayu sebenarnya muak dengan UMNO BN – Senator Dr. Arifin Omar

roketkini.com

GEORGE  TOWN : DAP terbukti lebih memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat Melayu dari UMNO-BN yang lebih memperjuangkan nasib kroni mereka.

Ini terbukti dengan segala pendedahan dan pelbagai skandal rasuah, salah guna kuasa  pemimpin mereka yang telah pun diketahui umum.

Demikian ulasan yang diberikan Senator Dr. Arifin Omar ketika dihubungi menyangkal dakwaan dangkal Perdana Menteri Najib Razak semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini.

“Sebenarnya orang Melayu lah yang muak dengan Gerakan-BN dan pilihanraya 2008 telah menjadi salah satu bukti bahawa UMNO dan BN sendiri telah ditolak oleh rakyat”

Ini tidak lain jelas beliau akibat tindak-tanduk Gerakan dan BN yang dilihat mengamalkan urus tadbir yang tidak berhemah, rasuah serta meminggirkan orang Melayu sendiri.

Tambahnya, “DAP merupakan parti yang berasaskan semua kaum berbeza dengan komponen terbesar BN yang berjuang untuk kaum masing-masing sahaja. DAP tidak melihat berdasarkan warna kulit dan tidak meminggirkan kaum apa pun,”

Malah menurut Dr. Ariffin, sejarah telah membuktikan bahawa pilihanraya pada tahun 70-an, DAP membariskan sejumlah besar calon-calon dikalangan orang Melayu seperti Ibrahim Singgeh, Haji Hasan, Daeng Ibrahim dan ramai lagi.

“Ini bukti DAP tak meminggirkan orang Melayu, sekarang di Pulau Pinang, kita dapat lihat sendiri bagaimana kebajikan orang Melayu bahkan semua kaum dijaga sebaik mungkin oleh kerajaan negeri,”
Ujarnya lagi, sebelum ini kurangnya penyertaan orang Melayu dalam DAP bukan beerti mereka tidak menyokong parti tersebut tetapi berasa tidak selesa akibat propaganda jahat yang dimainkan UMNO menakutkan mereka.

“Tapi keadaan dah berubah, orang Melayu sudah terbuka.” katanya.

Pada Pilihanraya Umum tahun 1974, DAP telah meletakkan seramai 32 calon orang Melayu dari 121 calonnya untuk bertanding merebut kerusi DUN di seluruh Malaysia manakala pada Pilihanraya Umum tahun 1978 pula ia meningkat kepada 36 calon Melayu dari 127 calon DAP yang bertanding dan sebahagian dari mereka telah memenangi beberapa kawasan yang dipertandingkan menewaskan calon UMNO sendiri.-roketkini.com

Tiada ulasan: