Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Kelewatan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 mungkin disebabkan wujud audit kedua, bukan berpunca daripada Jabatan Audit Negara, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
Katanya, hasil semakan mendapati, laporan tersebut disahkan seawal 12 Jun lalu dan laporan penuhnya telah disemak pada 25 Julai oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
“Ia telah diluluskan awal, jadi bagaimana mereka boleh kata Laporan Audit terpaksa dikeluarkan lewat sehingga sebulan atas alasan proses pengauditan?,” tegasnya.
“Kelambatan itu menyusahkan Ahli Parlimen untuk meneliti dan membahas sesuatu isu, ia pasti ada sebab lain, boleh jadi ada audit kedua,” kata Azan.
“Orang sering menyalahkan Jabatan Audit kerana kononnya mereka lambat buat kerja, tapi sekarang jelas, ada pihak lain yang menjadi punca,” sinisnya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.
Menurut Azan, kelewatan itu berlaku dua tahun berturut-turut dan pihaknya mengesyaki ada cubaan menyembunyikan ketirisan dalam kerajaan.
Azan turut menyentuh mengenai 70 peratus jabatan kerajaan yang ditegur Ketua Audit kerana tidak mematuhi peraturan pentadbiran kewangan seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
“Hanya 30 peratus yang mematuhi peraturan, bayangkan bagaimana isu kebocoran kewangan tidak berlaku,” katanya merujuk LKAN muka surat 100 perenggan dua.
Rumusan penemuan audit daripada LKAN 2011 di muka surat 100 menunjukkan pengauditan secara mengejut mendapati kelemahan berlaku tidak banyak berubah dengan tahun sebelumnya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan kelewatan LKAN 2011 adalah untuk memberi peluang Ahli Parlimen membahaskan Bajet 2013 BN dengan lebih terperinci agar Ahli Parlimen tidak mencampur-adukkan dua perkara itu dalam satu masa.
Azan bagaimanapun menyifatkan alasan Nazri ini sebagai tidak munasabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan