Isnin, 15 Oktober 2012

Kos jambatan kedua Sultan Yahya Petra meningkat RM34.76 juta


KUALA LUMPUR — Kos pembinaan jambatan kedua Sultan Yahya Petra meningkat sebanyak RM34.76 juta daripada kos asal yang bernilai RM143 juta sejak diluluskan di bawah Rancangan Malaysian Ke-9 pada 2007 lalu, menurut Laporan Ketua Audit Negara pada hari ini.

Laporan tersebut mengenalpasti peningkatan didapati berpunca daripada kegagalan Konsortium I.S Resourcers Sdn. Bhd. dan RIS Capital Sdn. Bhd. yang telah dilantik secara rundingan terus oleh agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) menyiapkan projek tersebut mengikut jadual yang sepatutnya disiapkan pada Disember 2009 lalu.

Projek pembinaan jambatan ini kemudiaannya telah diserah kepada Aneka Prestij Sdn. Bhd pada bulan Mac 2010 untuk menyiapkan baki pembinaan yang gagal disiapkan menerusi persetujuan pihak JKR.

Meskipun kontraktor tersebut telah ditukar, laporan audit negara masih mendapati kontraktor baru masih gagal menyiapkan kerja dalam tempoh yang telah ditetapkan sehinggakan 4 Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa selama 891 hari iaitu sehingga 30 Ogos 2012 terpaksa diluluskan.

Jumlah keseluruhan projek ketika ini adalah RM177.76 (peningkatan sebanyak 24.3 peratus) dengan mengambil kira Arahan Perubahan Kerja berjumlah RM20.61 juta yang masih belum diluluskan.

Selain itu, laporan oleh audit negara turut mengambilkira masalah reka bentuk sistem cerucuk yang mengambil masa sehingga 2 tahun untuk diselesaikan telah menjadi antara punca kelewatan penyiapan projek dan kenaikan kos, kelewatan membina jambatan sementara menyebabkan kerja-kerja dalam sungai tidak dapat dijalankan mengikut jadual dan pelantikkan kontraktor yang tidak berpengalaman sebagai antara faktor penyumbang kepada peningkatan kos dan kelewatan projek ini disiapkan.

Hasil daripada laporan ini, pihak audit telah mengesyorkan JKR untuk mengambil tindakan seperti memastikan masalah di tapak projek diselesaikan terlebih dahulu supaya kerja dapat dilaksanakan mengikut jadual, mempertingkatkan koordinasi antara pihak berkuasa tempatan, pihak utiliti dan agensi- agensi lain yang terlibat di tapak pembinaan supaya masalah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan, memastikan masalah reka bentuk sistem cerucuk diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan kelewatan pembinaan, melantik perunding utama bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek dan memastikan pihak kontraktor membina jambatan sementara mengikut jadual yang telah ditetapkan kerana kerja-kerja dalam sungai adalah bahagian paling kritikal bagi projek ini.

Jambatan Sultan Yahya Petra merupakan penghubung utama antara Bandar Kota Bharu dengan Tumpat.
Kegiatan ekonomi dan sosial di Tumpat serta sebahagian Bandar Pasir Mas banyak bergantung kepada jambatan ini yang dibina pada tahun 1967 hanya direka bentuk untuk menanggung beban seberat 11 tan sahaja.

Projek jambatan kedua Sultan Yahya Petra telah diluluskan di bawah RMK-9 sebagai alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

Tiada ulasan: