Selasa, 2 Oktober 2012

Kontraktor Melayu peroleh projek jalan RM20 j - Guan Eng

Oleh Ahmad Fadzly Esa

Post Pic

KUALA LUMPUR:  Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mendakwa kontraktor Melayu tidak dipinggirkan di Pulau Pinang malah berjaya memperolehi kontrak kerja jalan terbesar di Pulau Pinang yang bernilai lebih RM20 juta melalui bidaan terendah.

Beliau yang ditemui pemberita di lobi Parlimen berkata, kerajaan Pulau Pinang mengamalkan garis panduan pemberian kontrak terbuka secara telus sepanjang empat memerintah di negeri itu.

"Ini merupakan suatu perkara yang perlu diraikan di Malaysia kerana dia bersaing dengan kontraktor Cina dan bukan Melayu tapi dia boleh menang kerana harganya (bidaan) paling rendah.

"Kita buktikan bahawa kontraktor Melayu kelas A, B dan C boleh bersaing daripada jumlah yang diberikan 70 peratus bukan sahaja daripada jumlah tetapi nilainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kontraktor Melayu Pulau Pinang yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan semasa sesi perbahasan.

Abdul Rahman menyatakan mengikut garis panduan projek kurang RM200,000 perlu diberi kepada kontraktor Bumiputera kelas F.

Mengulas lanjut, Guan Eng mendakwa kebanyakan kontraktor Melayu yang memenangi kontrak pembangunan negeri hasil daripada langkah tender terbuka yang diamalkan kerajaaan Pakatan Rakyat berbanding sistem 'kabel Umno' sebelum ini.

Kontrak pembangunan jalan bernilai RM20 juta di Jalan Son Ban Kheng, Bukit Mertajam itu melibatkan aktiviti melebarkan jalan dua lorong kepada empat lorong dan juga pembinaan dua jambatan.

Tiada ulasan: