Sabtu, 6 Oktober 2012

Kerajaan pinggir SAR dalam Bajet 2013

Selangorku,

SHAH ALAM: Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Tinggi Negeri, Dr Halimah Ali kesal dengan Kerajaan Pusat yang dikatakan tidak adil dalam pengagihan Bajet 2013 terutama dalam bidang pendidikan melibatkan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Katanya, perlaksanaan itu menggambarkan Umno-BN mendiskriminasi ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka di peringkat sekolah rendah agama.

Beliau berkata, adalah menjadi hak setiap ibu bapa untuk memilih menghantar anaknya ke mana-mana jenis sekolah yang difikirkan perlu.

“Apa bezanya hak mereka ini? Bukankah keperluan mereka juga diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia,” soalnya dalam satu kenyataan media semalam.

Jelasnya, berdasarkan Petikan Artikel Perlembagaan Malaysia (Bahagian 2 Hak Asasi) Perkara 12 berkenaan pendidikan, menyatakan tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir.

Tambah Dr Halimah, dalam pembentangan bajet itu, tidak menyatakan peruntukkan kewangan untuk institusi pendidikan Islam seperti elaun guru, latihan perguruan dan Sekolah Kafa seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Jika peruntukkan RM100 juta boleh diberikan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Mubaligh yang bukan diperingkat dasar, kenapa SAR tidak dapat?

“Sedangkan SABK bukanlah bantuan menyeluruh kepada sekolah agama kerana masih banyak sekolah agama yang tidak bersedia untuk mendaftar,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini, Sekolah Agama milik Kerajaan Negeri sebanyak 107 buah dengan bilangan guru 4,680 orang dan 62,929 pelajar.

Manakala, Kerajaan Negeri Selangor membelanjakan RM264 juta bagi tahun 2011.

Tiada ulasan: