Oleh: Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : Lebih 50 kaum India berhimpun depan pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantah tindakannya bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar meroboh Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman berusia lebih 100 tahun.
Pengerusi kuil, R. Balasubramanian berkata, notis meroboh diterima pihaknya pada 25 September lalu dan diberi tempoh hingga 24 Oktober ini untuk berpindah.
“Ini adalah notis ketiga selepas notis sama diberi kepada kami pada 2010 dan 2011, apa yang dikesalkan DBKL dan Kementerian mengarah kuil diroboh dalam keadaan Mahkamah hanya akan bersidang pada 1 November ini.
“Pihak kuil juga diarah membayar RM250 setiap hari jika tidak berpindah bermula 25 Oktober ini seperti dinyatakan dalam notis DBKL bertarikh 25 September lalu,” katanya kepada Suara Keadilan.
Turut hadir Naib Presiden KEADILAN, N, Surendran, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Port Dickson, M. Ravi, Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran, pemimpin kuil itu dan puluhan masyarakat dan aktivis masyarakat India.
Balasubramanian berkata, isu bermula apabila pemaju Menara Hup Seng Sdn Bhd mahu mengambil lapan kaki tanah dari tapak kuil sejak beberapa tahun lalu namun mereka menolaknya.
“Kami menolak kerana tanah ini milik Kerajaan Persekutuan dan kami sudah diberi kebenaran mendudukinya sejak DBKL belum ditubuh lagi dan selepas itu, peguam kami bersama peguam pemaju dan DBKL bersetuju membawa kes ini ke mahkamah.
“Malangnya, pada 25 September lalu, DBKL mengarah berpindah dalam masa 30 hari dan kami syak berlakunya salah guna kuasa atas arahan mengejut ini, maka kami membuat laporan di balai polis Dang Wangi 12 Oktober lalu,” katanya.
Balasubramanian turut berterima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat kerana konsisten memperjuang hak mereka.
“Sejak notis pertama diterima pada 2010 hingga kini, tiada seorangpun pemimpin India dari mana-mana komponen BN datang atau bantu dan sebab itu kami hari ini bersetuju pimpinan Pakatan Rakyat bersama untuk bertemu Datuk Bandar dan menteri,” katanya.
Sementara itu, Surendran yang merupakan salah seorang peguam bagi pihak kuil berkata, usaha Pakatan untuk menyelesai masalah itu bagaimanapun belum berjaya.
“Kami tawar tiga pilihan kepada DBKL iaitu beri penjelasan secara langsung dari Datuk Bandar atau Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin selaku menteri Wilayah atau tarik balik notis, malangnya, mereka tidak memberi apa-apa kata putus,” kata Surendran.
Setakat 12 tengah hari tadi, kumpulan itu kekal berhimpun depan pejabat DBKL dan dikawal kira-kira 30 pasukan polis dan pegawai DBKL sejak 9 pagi, walaupun himpunan hanya bermula 11.30 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan