Selasa, 16 Oktober 2012

IWK dan RapidKL terus rugi teruk


 

KL TODAY

Syarikat pembentungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) mengalami kerugian terkumpul secara berterusan sehingga akhir tahun 2010 berjumlah RM888.1 juta, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dibentang hari ini.

“Kes kecurian di loji olahan kumbahan melibatkan anggaran kerugian berjumlah RM25.40 juta, air kumbahan tidak dirawat mengikut standard ditetapkan, kerosakan struktur loji serta pelanggaran standard efluen melibatkan fi lesen berjumlah RM1.554 bilion.

“Prestasi kewangan IWK kurang memuaskan. Syarikat tidak mampu menjana keuntungan dan terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan untuk menampung perbelanjaan operasinya,” tulis laporan tersebut.

Justeru, prestasi syarikat pembetungan nasional itu ditandakan sebagai ‘kurang memuaskan’ dalam laporan tersebut.

“Setakat 31 Disember 2011, IWK hanya berjaya membangunkan sistem pembentungan negara ke satu tahap lebih baik selepas 17 tahun mengendalikannya.

“Projek tidak dirancang dengan teliti. Sijil Perakuan Siap Kerja dikeluarkan bagi projek yang komponen utamanya gagal dalam pengujian dan pentauliahan,” jelas laporan berkenaan.

Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) mencatat kerugian terkumpul sehingga 31 Disember 2010 berjumlah RM293.82 juta, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011.

“Prestasi kewangan RapidKL kurang memuaskan di mana syarikat mengalami kerugian pada 2008 dan 2010, walaupun mencatat keuntungan pada 2009.

“Bilangan bas sedia guna bagi empat model iaitu Dong Feng 120, Iveco, Dong Feng 75 dan King Long Suzhou hanya mencapai kurang 50 peratus daripada keseluruhan bas sebenar,” jelas laporan itu.

RapidKL ditubuhkan pada 26 Julai 2004 dengan modal berbayar RM300 juta. Pada Jun 2009, Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) mengambil alih RapidKL daripada Menteri Kewangan Incorporated dengan pegangan ekuiti 100 peratus.

RapidKL juga adalah pengendali sistem tren transit aliran Ampang dan Kelana Jaya serta pengangkutan bas di Kuala Lumpur dan sebahagian di Lembah Klang.

Tiada ulasan: