Selasa, 9 Oktober 2012

Isu Pengerang: Penduduk hidu bau aneh

 
Kelibat kapal dipercayai punca bau gas asli dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari Rabu lalu.



PENGERANG: Gabungan NGO Pengerang mendakwa penduduk Kampung Jawa dan Sungai Kapal  dan Batu Mas terhidu bau aneh yang disyaki sebagai bau gas asli.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari dan bau tersebut cuma semakin hilang pada pada jam 6 petang Rabu lalu.

Selepas membuat penyiasatan, ahli-ahli Jawatankuasa Gabungan NGO Pengerang mendapati penduduk di Kampung Jawa, Kampung Batu Mas dan Pekan Sungai Kapal terhidu bau aneh tersebut.

Menurut penduduk, mereka ternampak sebuah kapal yang berhenti di luar persisiran pantai Kampung Jawa, pada masa yang sama angin meniup ke arah barat daya, menyebabkan kapal tersebut disyaki sebagai sumber bau tersebut.

Beberapa orang pekerja penambakan Syarikat Dialog Group Berhad juga berkata, kira-kira jam 1.30 petang hari tersebut terdapat sebuah ambulan hospital swasta telah keluar dari tempat penambakan.

Pihak berkuasa, terutamanya Jabatan Laut perlu membuat penyiasatan terhadap bau aneh tersebut untuk mengetahui sama ada sumbernya adalah dari persisiran Sungai Kapal atau dari tempat lain.

Pengerusi Gabungan NGO Pengerang Anis Anifah berkata, sejak projek penambakan Dialog Group Berhad di persisiran Sungai Kapal, terdapat banyak khabar angin bahawa kerap berlaku kemalangan industri sehingga ada yang meragut nyawa pekerja.

Beliau mendakwa, kemalangan terakhir meragut nyawa projek penambakan ini berlaku pada bulan Julai yang lalu.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu bertanggungjawap terhadap apa yang berlaku di kawasan penambakan, di mana penjelasan terhadap perkara ini terutamanya terhadap penduduk amatlah diperlukan untuk mengelakkan khabar angin terus tersebar, sehingga menyebabkan panik di kalangan penduduk”, katanya.

Tiada ulasan: