Selasa, 9 Oktober 2012

Indeks persepsi rasuah sudah lapuk, kata kawan UMNO

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Kecacatan yang terserlah malahan memalukan buat Malaysia dan SPRM telah pun ‘diuruskan’ dengan mengatur supaya anggota lembaga penasihat antarabangsa Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menimbulkan kesangsian ke atas Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index, CPI) Transparency International.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya hari ini mendakwa bahawa Dmitri Vlassis dimanipulasi supaya mengatakan bahawa  CPI Transparency International “sudah lapuk’ dengan alasan bahawa ia tidak dapat menerangkan dengan tepat kompleksiti negara yang diberikan kedudukan”, “tidak produktif” dan “tidak dapat digunakan sesiapa pun”.

Vlassis merupakan anggota penasihat antarabangsa Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang merupakan ketua bagi Cawangan Rasuah dan Jenayah Ekonomi PBB (UNODC) yang dijemput dalam Persidangan dan mesyuarat agung Persatuan Pihak Berkuasa Anti-rasuah Antarabangsa (IAACA) baru-baru ini.

Vlassis mengatakan setiap negara bertindak dengan cara berbeza menangani rasuah, maka negara itu hanya boleh dibandingkan dengan dirinya dan bukan negara lain.

“Akan tetapi, ketika membandingkan dengan dirinya dan bukan negara lain, hakikat yang tidak dapat dielakkan adalah CPI TI 2011 merangkul kedudukan dan mata terendah Malaysia dalam tempoh 17 tahun,

“Ia menunjukkan bahawa gejala rasuah di bawah pemerintahan Najib lebih teruk jika dibandingkan dengan lima tahun di bawah Tun Abdullah dan 22 tahun di bawah Tun Mahathir!” ujar beliau

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata kenyataan Vlassis amat mengejutkan apabila meminta rakyat Malaysia mengabaikan CPI TI 2011 pada tahun ke-17 terburuk Malaysia dengan kedudukan teruk di nombor 60 dan mata terendah 4.3.

“CPI TI 2011 yang dikeluarkan Disember tahun lepas sebenarnya adalah ‘kad laporan’ antarabangsa terburuk Malaysia berkaitan rasuah, dalam tempoh 17 tahun semenjak CPI TI tahunan diperkenalkan.”

Menjelaskan kedudukan sebenar, Kit Siang mengimbas kembali tahun 2004 apabila Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak meminggirkan laporan CPI TI apabila beliau mengumumkan Pelan Integriti Nasional dengan sasaran lima tahun untuk menambahbaik indeks CPI Malaysia.

Menyimpulkan situasi yang berlaku, Kit siang meluahkan rasa bimbang beliau apabila samada Najib atau SPRM seolah tidak bimbang terhadap keadaan Malaysia yang ketinggalan jauh dari negara-negara lain membanteras jenayah rasuah dalam tempoh 17 tahun.

“Malaysia bukan sahaja gagal untuk mencapai sasaran CPI TI sekurang-kurangnya tempat ke-30 dan 6.5 mata pada 2008, malah kedudukan kita kini dua kali ganda pada nombor 60 dengan mata paling rendah 4.3 dalam CPI TI 2011,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: