Kerajaan pusat dikatakan berdolak dalih dalam isu pembinaan lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai.
Dua ahli parlimen PAS hari ini mengkritik kerajaan pusat berikutan kegagalan membina Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai.
“Kami tidak puas hati dengan jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya (Yong Khoon Seng) yang cuba tutup kegagalan kerajaan pusat.
“Beliau mengalih isu dan menyeleweng tetapi mengakui ada cadangan menaik taraf jalan dan kemudian ada cadangan untuk bina lebuh raya sebagai sebahagian daripada rangkaian lebuhraya bermula dari Pahang.
“Ia adalah dosa besar untuk menafikan hak rakyat,” kata ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar dalam satu sidang media di Parlimen selepas mendapat jawapan berkaitan lebuhraya tersebut.
Projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai mula-mula dicadangkan dalam tahun 2002 di bawah Rancangan Malaysia ke 8 namun tidak dijalankan.
Sekarang projek lebuh raya bernilai RM1.8 bilion sejauh 73 km tanpa tol diusahakan oleh kerajaan negeri menggunakan wang wakaf lebuhraya.
Setakat ini RM4 juta telah dikumpul untuk tujuan tersebut.
“Kerajaan Kelantan sedar keperluan lebuhraya mendesak jadi ia terpaksa memulakan projek ini.
“Lebuh raya sebenarnya tanggungjawab pusat. Mereka tidak menunjukkan sikap positif dan tidak ikhlas,” kata Kamaruddin.
Sementara itu Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan jawapan timbalan menteri sebagai memperlekeh kemampuan rakyat Kelantan untuk mendapatkan wang tersebut.
“Kerajaan bermaruah sepatutnya malu. Mereka patut rasa hina kerana kerajaan negeri menggunakan sistem wakaf untuk memenuhi keperluan rakyat,” kata beliau.
Sementara itu Kamaruddin turut mengingatkan kerajaan pusat agar tidak mempolitikkan isu pembinaan lebuh raya.
“Saya tidak mahu isu ini dijadikan bolasepak politik kerana Kelantan hebat dalam bola sepak,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan